fbpx

Agong, Permaisuri zahir tahniah kepada Ratu Elizabeth II

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan ucapan tahniah kepada Ratu Great Britain, Baginda Ratu Elizabeth II.

PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan tahniah kepada Ratu Great Britain, Baginda Ratu Elizabeth II.

Istana Negara dalam satu kenyataan berkata, Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa sukacita dan bangga sempena sambutan Jubli Platinum yang bermula pada hari Khamis lalu (2 Jun 2022) sempena ulang tahun ke-70 Baginda bersemayam di atas takhta kerajaan Great Britain.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa suka cita atas sambutan yang bersejarah itu dan juga kerana Baginda Ratu Elizabeth II dikurniakan kesihatan yang baik serta usia yang panjang menjadikan Baginda sebagai Ratu paling lama memerintah dalam sejarah Britain.

“Seri Paduka Baginda menyifatkan Baginda Ratu Elizabeth II sebagai pemerintah yang prihatin terhadap kebajikan rakyat dan berdedikasi berkhidmat kepada rakyat Britain dan juga Komanwel,” katanya di sini hari ini.

Tambah kenyataan tersebut, Seri Paduka Baginda mendoakan semoga Baginda Ratu Elizabeth II dikurniakan keafiatan yang berpanjangan, kebijaksanaan dan kekuatan untuk terus bersemayam di atas takhta kerajaan Great Britain.

“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan harapan semoga hubungan dua hala sedia ada yang rapat serta mesra antara Malaysia dan Britain akan terus dipertingkatkan khususnya dalam bidang ekonomi, perdagangan dan pelaburan,” ujarnya.

Terdahulu, pada 13 Disember 2019, Agong dan Raja Permaisuri berkenan berangkat membuat kunjungan hormat dan menghadiri majlis santapan tengah hari bersama Baginda Ratu Elizabeth II di Istana Buckingham, London.

Kunjungan hormat dan majlis santapan tengah hari itu bersempena Lawatan Khas tujuh hari Seri Paduka Baginda berdua ke England, bermula pada 9 Disember 2019. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI