DHAKA – Sekurang-kurangnya lima maut dan kira-kira 100 lagi dilaporkan cedera dalam satu kebakaran di sebuah depoh kontena di Bandar Sitakunda, tenggara Bangladesh.
Kebakaran merebak di kemudahan penyimpanan kontena pedalaman yang hanya 40 kilometer di luar pelabuhan laut utama negara, Chittagong sejurus sebelum tengah malam, demikian menurut pegawai bomba, Jalal Ahmed.
Beberapa unit pemadam kebakaran bergegas ke depoh untuk memadamkan api apabila letupan besar menggegarkan tapak lokasi, mencederakan ramai orang termasuk anggota bomba.
Ketua Pasukan Perubatan Chittagong, Elias Chowdhury memberitahu bahawa sekurang-kurangnya lima disahkan terbunuh dan kira-kira 100 cedera.
Kira-kira 20 mangsa berada dalam keadaan kritikal dengan kesan melecur meliputi antara 60 hingga 90 peratus badan mereka.
Krew kecemasan masih berusaha untuk memadamkan kebakaran pada pagi Ahad dan hospital tempatan, termasuk klinik tentera sedang merawat mangsa yang tercedera.
Jurucakap Persatuan Kontena Pedalaman Bangladesh (BICA), Ruhul Amin Sikder berkata, beberapa kontena di depoh persendirian seluas 30 ekar itu mengandungi bahan kimia mudah terbakar termasuk hidrogen peroksida.
Pengarah kemudahan yang dipanggil B.M. Depoh Kontena, Mujibur Rahman berkata, punca kebakaran masih belum diketahui.
Beliau menambah kemudahan itu menggaji kira-kira 600 orang.
Pada 2020, tiga pekerja terbunuh selepas tangki minyak meletup di depoh kontena lain di kawasan jiran Patenga.
Terdapat 19 depoh kontena pedalaman persendirian di negara Asia Selatan yang mengendalikan sektor eksport Bangladesh dan sebahagian besar barangan import. – AFP