KUALA KANGSAR – Tindakan seorang lelaki berenang menyeberangi Sungai Perak berhampiran Jambatan Sultan Abdul Jalil dekat Sayong Lembah di sini semalam, berakhir tragedi apabila dihanyutkan arus deras.
Dalam kejadian sekitar pukul 10 malam itu, Mohamad Nor Amirulhamzah Jaafar, 26, yang juga warden Pusat Rawatan dan Pemulihan Darul Islah dihanyutkan arus manakala seorang penghuni pusat itu terselamat selepas sempat berenang ke tebing.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, mangsa datang ke lokasi kejadian sekitar pukul 8.30 malam bersama seorang pengurus dan tiga penghuni pusat berkenaan untuk menjala ikan.
Katanya, mangsa bersama seorang penghuni dikatakan mengambil keputusan berenang ke seberang sungai selepas gagal memperolehi ikan.
“Keadaan arus deras bagaimanapun telah menghanyutkan mangsa. Seorang penghuni sempat menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing sungai.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa diaktifkan tengah malam tadi di mana pasukan bomba memberi fokus pencarian di permukaan sungai,” katanya ketika ditemui di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di sini hari ini.
Menurutnya, ekoran keadaan gelap dan arus deras, operasi mencari mangsa ditangguhkan sebelum disambung hari ini pada pukul 8.30 pagi.
“Operasi hari ini turut menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) bomba bagi membantu mengesan mangsa. Pencarian juga dijalankan sejauh tiga kilometer dari Jeti Penambang Sayong di sini,” katanya. – KOSMO! ONLINE