fbpx

Terharu terima bantuan Yayasan Keluarga Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Mursyide Islamie (tiga dari kanan) dan sebahagian 10 penerima bantuan Yayasan Keluarga Malaysia bersama Ismail Sabri pada Program Jelaah Aspirasi Keluarga Malaysia di Kuala Nerus hari ini.

KUALA NERUS – Keprihatinan kerajaan yang mengambil cakna nasib anak-anak yang kehilangan bapa akibat Covid-19 amat menyentuh hati seorang remaja lelaki berusia 13 tahun.

Muhammad Mursyide Islamie Muhammad Mayuddin berkata, kehilangan bapanya, Muhammad Mayudin Abdul Rahman, 49, pada 4 November tahun lalu telah memberi kesan besar kepada keluarganya.

Dia yang juga anak bongsu kepada 10 beradik berkata, tanggungjawab menyara keluarga kini digalas oleh abangnya, Muhammad Majadidun Islam, 28, yang berkhidmat sebagai pendakwah bebas.

“Arwah ayah (Muhammad Mayudin) semasa hayatnya berkhidmat sebagai pengajar kelas talaqi. Saya mahu meneruskan usahanya menjalankan kerja-kerja dakwah dengan belajar bersungguh-sungguh bagi mencapai cita-cita menjadi ulama.

“Alhamdulillah saya diterima untuk belajar di tingkatan satu di Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin baru-baru ini,” katanya ketika ditemui pada Program Aspirasi Jelajah Keluarga Malaysia di sini hari ini.

Terdahulu dia merupakan salah seorang daripada 10 penerima bantuan Yayasan Keluarga Malaysia yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Selain bantuan kewangan, Yayasan Keluarga Malaysia juga bertanggungjawab memberi sokongan kebajikan dan pendidikan kepada anak-anak yang kehilangan ibu atau bapa akibat Covid-19, kemalangan dan bencana lain sehingga mereka berusia 18 tahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI