fbpx

Tangani isu buaya besar di Sarawak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MINGGU lalu Instagram Kosmo! ada berkongsi sekeping gambar seekor buaya sepanjang 4.3 meter dengan berat 800 kilogram dibelah perut berikutan kehilangan seorang kanak-kanak berusia 7 tahun.

Perkongsian itu mendapat lebih 12,000 tanda suka serta lebih 400 komen. Pelbagai reaksi diterima, malah ada komen pembaca lebih kasihankan buaya berbanding kehilangan mangsa.

Mangsa, Mohammad Adami Moktar disambar buaya ketika berada di gigi air berhampiran sebuah jeti di tepi rumahnya. Kejadian berlaku di Sungai Nyabut, Kampung Trombol di Telaga Air, Kuching pukul 9.30 pagi pada 21 Mei lalu.

Insiden sebegini agak merunsingkan apabila dua hari sebelum itu seorang lelaki, Sebarang Bingkok, 56, maut diserang buaya di Sungai Ahong, Kampung Kangka, Lundu. Hanya kepala mangsa ditemui hanyut.

Menurut cerita nenek Mohammad Adami, mangsa sedang mencangkung di atas tebing di gigi air. Dia melihat kakaknya bermain air di atas jeti kecil ketika air sungai pasang. Manakala, nenek mangsa berada beberapa meter sahaja dari dua beradik itu.

Apa yang menjadi misteri adalah apabila buaya besar berwarna hitam itu ‘menyambar’ mangsa sedangkan yang berada di dalam air ketika kejadian adalah kakaknya.

Mangsa ‘ditarik’ ke tengah sungai sebelum dia kali terakhir dilihat terkapai-kapai dan hilang.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) juga telah ditamatkan atas arahan Ketua Polis Daerah Batu Kawa pada 27 Mei lalu.

Usaha mengesan jasad kanak-kanak itu kini diambil alih oleh Sarawak Forestry Corporation (SFC) dan Pasukan Pemburu Buaya Samarahan atas permohonan ahli keluarga mangsa.

Jadi buaya besar yang ditangkap ini memang akan dibedah siasat untuk mencari anggota badan mangsa untuk disemadikan.

Menurut penduduk, dalam radius 1 kilometer, sungai berhampiran rumah mangsa itu turut didiami beberapa ekor buaya besar sehingga ada yang panjangnya mencecah 6.7 meter.

Buaya-buaya di Sarawak ini memang besar-besar. Malah, ini bukan kali pertama penulis menulis berkenaan isu buaya membaham penduduk.

Dahulu penulis menceritakan kepercayaan masyarakat di sana dan konflik manusia dan buaya ini sudah berlaku ratusan tahun. (Pautan : https://www.kosmo.com.my/2020/08/06/buaya-puni-dan-udah-aki/)

Kerajaan negeri melalui SFC terus menjalankan usaha menguruskan kelestarian populasi buaya liar di Sarawak. Mungkin SFC mempunyai data serta kajian terperinci berkaitan populasi buaya di negeri itu.

Jika ada kelibat buaya besar berhampiran penempatan penduduk, pihak berwajib wajar mengambil tindakan intervensi seperti memburu, menangkap dan memindahkan reptilia ini ke lokasi lain atau santuari sedia ada.

Sekurang-kurangnya ia mampu mengelakkan persaingan mendapatkan makanan antara reptilia-reptilia bersaiz ‘giant’ ini sebelum beralih ‘selera’ menyerang penduduk.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI