KLANG – Taman Tasik Setia Bayuemas yang menelan kos perbelanjaan RM2juta akan menjadi ikonik kepada projek perumahan Bayuemas di Pandamaran di sini.
Pengurus Besar Setia Bayuemas, Razly Mohammad Rus berkata, tasik berkeluasan 4.04 hektar itu menekankan konsep ekosistem biodiversiti dalam kepelbagaian fauna dan spesis hidupan air payau.
Katanya, antara keunikkannya termasuk menempatkan 300 spesis pokok seperti gelam, merawan, tualang dan tembusu selain ikan meliputi jenis sepat ronggeng, sepilai, puyu, baung tempatan, sebarau dan lampam.
“Menariknya, kita menjangkakan tasik ini akan menjadi lokasi migrasi bagi habitat burung daripada utara.
“Tasik ini juga menyediakan empat ‘deck’ pemandangan kepada mereka untuk lokasi mengabadikan kenangan di laman sosial mereka sesuai dengan trend semasa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pelancaran taman tasik tersebut hari ini.
Pelancaran telah disempurnakan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang, Noraini Roslan selain turut dihadiri Naib Presiden Eksekutif S P Setia, Datuk Yuslina Mohd. Yunus dan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong.
Jelas beliau, taman tasik ini juga berfungsi sebagai tempat pembelajaran ekoran setiap pokok juga ditandakan nama bagi memberikan maklumat kepada pengunjung.
“Ini adalah tanggungjawab sosial korporat dalam menyediakan pusat rekreasi bukan sahaja kepada penduduk bagi projek perumahan ini malah terbuka kepada orang luar,” ujarnya.
Mengulas mengenai kemajuan projek pembangunan perumahan, Razly memberitahu Bayuemas menempatkan tiga fasa perumahan dengan sambutan amat menggalakan.
“Kita telah berjaya menjual 140 unit kediaman bagi fasa satu dan kedua manakala fasa ketiga setakat ini adalah 60 unit daripada 120 keseluruhannya. Harga jualan antara RM500,000 hingga RM650,000.
“Kita juga dalam perancangan membina 80 unit lagi perumahan bagi rumah mampu milik jenis rumah teres satu tingkat dengan harga jualan RM500,000,” katanya. -KOSMO!ONLINE