PARIS – Pemain No.1 dunia, Iga Swiatek menepati ramalan selepas menjuarai saingan Terbuka Perancis dengan menewaskan bintang remaja Amerika Syarikat (AS), Coco Gauff sebentar tadi.
Pada saingan di Roland Garros itu, Swiatek yang baru berusia 21 tahun tidak mempunyai masalah untuk merekodkan kemenangan straight-set 6-1, 6-3 dalam tempoh 68 minit.
Keputusan tersebut menyaksikan atlet kelahiran Poland itu terus melebarkan rekod tanpa kalah dalam siri Jelajah WTA sebanyak 35 kemenangan berturut-turut musim ini.
Rekod yang dilakukan oleb Swiatek itu menyamai apa yang dilakukan oleh pemain tenis legenda AS, Venus Williams pada awal tahun 2000.
Lebih manis, ini adalah kemenangan kedua buat Swiatek pada kejohanan bertaraf Grand Slam di Roland Garros itu selepas mendominasi saingan edisi 2020.
Kejuaraan Terbuka Perancis adalah yang keenam berturut-turut yang diraih Swiatek pada siri Jelajah WTA musim ini. – AGENSI