fbpx

Status Che Puan tak halang Sarimah Ibrahim bekerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SARIMAH IBRAHIM

IMEJ rambut keriting menjadi antara ‘trademark’ memperkenalkan Che Puan Sarimah Ibrahim dalam bidang pengacaraan suatu ketika dahulu.

Rancangan seperti CNN To Go, The Biggest Loser Asia, Bella NTV7, Ikon Asean dan Anugerah Juara Lagu antara sebahagian daripada 30 buah program televisyen yang pernah dikendalikannya.

Kepetahan bicara bersulam lelucon menjadi kekuatan wanita berusia 44 itu untuk tidak pernah gagal ‘menawan’ hati penonton sewaktu mengendalikan apa jua bentuk program, hiburan mahupun ilmiah.

Mengakui pengacaraan merupakan ‘cinta hatinya’ berbanding kerjaya seni lain seperti lakonan dan nyanyian, selebriti berdarah kacukan Melayu-Irish itu masih belum boleh ‘melunturkan’ minatnya terhadap dunia yang sudah diceburinya sejak lebih 20 tahun lalu.

SEPANJANG lebih 20 tahun dalam bidang pengacaraan, Sarimah sudah mengendalikan lebih 30 buah rancangan televisyen popular untuk siaran tempatan mahupun antarabangsa.

Lebih mesra dibahasakan Che Puan, Sarimah sebenarnya tidak perlu lagi bertungkus-lumus bekerja selepas mendirikan rumah tangga bersama suaminya, Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar atau Tunku Jamie yang merupakan cucu kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-10.

“Saya tidak mahu duduk di rumah goyang kaki dan melaram sahaja.

“Saya jadi pengacara bukan semata-mata untuk cari makan, tapi itu adalah jiwa saya,” ujar pemenang trofi Artis Baharu Terbaik, Anugerah Industri Muzik (AIM) 2002 itu.

Emosi penonton

Ujar pemilik single berjudul Kini Kau Tiada itu, selama lebih 20 tahun terbabit dalam industri seni hiburan sebagai pengacara, banyak pengalaman dilaluinya sehingga benar-benar mematangkan dirinya untuk terus kekal relevan dalam bidang diceburi.

Kata Sarimah, bidang pengacaraan bukanlah suatu tugas mudah untuk dipikul seperti tanggapan sesetengah pihak yang melihat kerjaya ‘bercakap’ itu boleh dibuat dengan sebelah mata.

“Pengacara jangan cuba mendahului bintang (tetamu). Kerja pengacara adalah untuk menjadikan bintang lebih menyerlah.

“Jangan terlalu ‘syok sendiri’ atau terlalu tenggelam. Perlu cari keseimbangan dengan majlis,” tegas Sarimah.

MENJADI seorang pengacara yang baik bukan hanya sekadar perlu bijak bercakap, namun juga perlu mempunyai kelebihan ‘membaca’ emosi penonton. – MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI

Ujarnya lagi, selain kebolehan bercakap, keupayaan untuk ‘membaca’ emosi penonton juga menjadi kekuatan seseorang pengacara.

Bahkan, pengacara juga perlu ada rasa simpati kepada penonton supaya dapat menguasai emosi mereka agar tidak berasa janggal.

“Dahulu, saya bermula dari bawah dan merangkak perlahan-lahan. Begitulah fasa bermulanya saya dalam industri sehingga menjadikan saya lebih menghargai kerjaya ini (pengacaraan).

“Sekecil-kecil majlis sekali pun, kena buat persediaan rapi. Buat latihan walaupun saya sendiri sudah berpengalaman mengendalikan program-program besar.

“Bagi orang lain mungkin nampak mudah mengacarakan majlis kecil, namun tidak bagi saya.

“Saya perlu tahu apa yang perlu saya cakap, kena rancang dan fikir untuk tarik perhatian kepelbagaian penonton,” ujar wanita yang pernah diangkat sebagai Pengacara TV Terbaik menerusi Anugerah Seri Angkasa 2011 itu.

Status Che Puan

Memahami konsep ‘datang dan pergi’, Sarimah pada masa sama perlu menerima hakikat zaman dan kehendak penonton berubah, seiring dengan peredaran masa.

Wajahnya juga sudah jarang menghiasi program dalam kaca televisyen.

Ujar Sarimah, dia tidak pernah berkata ‘tidak’ untuk mengendalikan sebarang bentuk program televisyen disebabkan berstatus ‘Che Puan’.

SARIMAH bertegas tidak pernah meletakkan syarat ‘ketat’ untuk menjadi pengacara dalam sesebuah program televisyen.

“Saya perlu akui bukan mudah untuk seseorang pengacara kekal lama. People come and go (manusia datang dan pergi), begitu juga selebriti.

“Saya sebenarnya tertanya-tanya mengapa sudah lama tidak dipanggil untuk mengacara.

“Mungkin mereka (pihak stesen) fikir saya demanding dan ada kelas tersendiri. Sedangkan saya tidak begitu. Kalau benar saya demand sekali pun, semuanya atas dasar profesional.

“Mungkin juga ada stesen televisyen takut dengan status saya selepas berkahwin dengan ‘seseorang’,” katanya berseloroh.

Dijatuhkan

Sekadar berkongsi pengalaman, Sarimah masih tidak dapat melupakan kejadian apabila mendakwa dirinya ‘dimakan’ seorang rakan pengacara sewaktu mengendalikan sebuah program hiburan beberapa tahun lalu.

Ujar Sarimah, kejadian tersebut menyebabkan dia berasa gagal dan janggal menjadi pengacara program siaran secara langsung itu kerana dijatuhkan oleh rakan pengacara.

“Kejadian itu berlaku beberapa tahun lalu ketika saya menjadi pengacara bersama sesorang yang juga mempunyai nama yang cukup besar dalam industri.

“Saya enggan menyebut namanya, tetapi individu tersebut bukan orang Malaysia.

“Pengalaman itu sangat teruk. Dia cuba tenggelamkan saya dan nampak murah dengan adegan saling ‘menganjing’.

“Sepanjang menjadi pasangan pengacara dengannya, saya rasa sangat teruk sebab cuba dijatuhkan.

“Jadi apa yang saya belajar daripada pengalaman itu, berhati-hatilah ketika menerima sebarang tawaran,” ujarnya.

Selektif

Akui Sarimah, dia perlu selektif bukan kerana statusnya sebagai isteri, bahkan sebagai ibu kepada seorang cahaya mata perempuan, Tunku Sofia Najihah yang kini berusia tiga tahun.

SELEPAS berkahwin dan bergelar ibu khususnya, Sarimah mengakui dia tidak lagi boleh menjadi ‘gila-gila’ seperti dahulu kerana mahu jadi contoh terbaik buat anaknya.

“Saya tidak lagi boleh berperangai seperti dahulu, kena tone down sedikit. Perangai pun tidak boleh ‘gila-gila’ dan cakap lepas.

“Saya tidak mahu anak saya apabila besar nanti lihat saya begitu,” katanya.

Menyentuh tentang kerjaya lakonan yang menjadi cabang kerjaya, pelakon yang pernah membintangi filem Janji Diana itu masih mahu beraksi sebagai pelakon, namun jika sesuai dengan watak dan jalan cerita.

“Alhamdulillah, saya masih lagi diberi tawaran untuk berlakon filem, tapi tidak buat masa sekarang. Watak pun saya kena pilih, biarlah yang sesuai.

“Kalau diberi peluang, saya mahu berlakon dalam naskhah berkisarkan jenayah,” katanya.

Dalam perkembangan terkini, Sarimah juga baru dilantik sebagai duta dan jurucakap di Hospital Ortopedik Alty, Ampang, Selangor bagi mempromosikan tentang kesihatan tulang.

“Saya terlibat dalam beberapa program bersama Alty antaranya memberi pendidikan dan kesedaran tentang penyakit mental,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI