SEREMBAN – Seorang lelaki tidak menyangka status yang dimuat naik rakan baiknya, Zaidi Baharin, 55, seminggu lalu di Facebook menyatakan dirinya tidak perlu lagi risau mengenai kad perakam waktu petanda lelaki itu akan pergi selamanya.
Zaidi yang juga Pembantu Tadbir Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS) maut dilanggar sebuah lori ketika sedang menukar tayar kereta Proton Preve yang dinaikinya pancit, kelmarin.
Kejadian kira-kira pukul 4.40 petang itu di Kilometer 11.5, Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur, Bukit Rotan, Kuala Selangor itu turut mengorbankan pemandu kereta Proton Wira berusia 40 tahun yang berhenti bagi membantu menukar tayar.
Muhamad Edry Ezwan Khairuddin, 42, berkata, ketika kejadian Zaidi yang juga ketuanya dalam perjalanan pulang dari lawatan kerja di Perak bersama pemandu kereta berkenaan.
Dia yang bekerja sebagai pembantu tadbir berkata, mereka telah berkawan selama 15 tahun dan arwah seorang kawan yang baik serta banyak membantu memudahkan urusan rakan-rakan sekerja yang lain.
“Kejadian ini mengingatkan saya tentang status dimuat naik arwah empat (lima) hari lalu yang menyatakan dirinya tidak perlu risau tentang kad perakam waktu selepas ini.
“Sangkaan saya itu hanyalah gurauan orang yang ingin bersara 1 Ogos ini dan saya juga meninggalkan komen gurauan bahawa arwah itu dahulu baik orangnya,” katanya yang sempat mengambil gambar bersama Zaidi pada jamuan Aidilfitri lalu.
Dalam pada itu, Muhamad Edry berkata, hari lahirnya semalam sangat bermakna apabila dapat berbakti kepada rakannya itu selepas mengimamkan solat jenazah di Masjid Kariah Seremban Jaya atas permintaan keluarga Zaidi.
“Saya tidak akan lupa hari ini (semalam) kerana merupakan hari lahir saya. Inilah kenangan bersama arwah yang tidak akan saya lupakan. Mengimamkan solat jenazah dan membaca talkin buat sahabat baik saya ini.
“Arwah tidak pernah ketinggalan memberikan ucapan hari lahir buat saya. Allahyarham Zaidi seorang sahabat, ketua dan abang yang sangat saya hormati,” luahnya sebak.
Zaidi meninggalkan seorang isteri dan tiga anak. JKNNS dalam Facebook rasmi turut mengucapkan takziah kepada keluarga Zaini.
Berita berkaitan: [VIDEO] Dua termasuk penyelia KKM maut dilanggar lori ketika tukar tayar
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, siasatan mendapati dua lelaki terbabit sedang membetulkan tayar Proton Preve yang pancit di tepi jalan sebelum dipercayai dilanggar sebuah lori yang gagal mengelak.
Katanya, pelanggaran itu mengakibatkan kedua-dua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dan dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat.
“Pemandu lori berusia 35 tahun itu kemudiannya ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.