KETUA jurulatih skuad bawah 23 (B-23) negara, Brad Maloney enggan menyalahkan barisan pemain yang dilihat telah memberikan sepenuh jiwa di atas padang meskipun tewas 1-4 kepada Korea Selatan pada aksi pembukaan Piala Asia B-23 kelmarin.
Pada aksi peringkat Kumpulan C yang berlangsung di Stadium Lokomotiv, Uzbekistan itu, skuad muda Harimau Malaya akur dengan kekuatan pasukan lawan yang meraih gol awal hasil ledakan Lee Sang-min dan Kim Tae-hwan.
Skuad negara berusaha bangkit dan mendapat gol saguhati dijaringkan kapten, Mukhairi Ajmal.
Dua jaringan yang disumbat oleh pemain gantian, Cho Young-wook pada penghujung perlawanan telah meranapkan impian skuad muda negara.
Kata Maloney, kekalahan 1-4 itu tidak mencerminkan prestasi sebenar pasukannya di atas padang yang bekerja keras untuk meraih keputusan positif pada saingan berprestij itu.
“Seperti dijangka, kita berdepan pasukan berkualiti seperti Korea Selatan dan selaku juara bertahan, mereka telah memberikan kesukaran buat pemain kami.
“Namun, pada babak pertama saya lihat kekuatan agak seimbang dengan barisan pemain menunjukkan aksi yang berdisiplin. Cuma, situasi pada separuh masa kedua agak berbeza kerana kita berusaha untuk meraih jaringan.
“Selepas kedudukan menjadi 1-2, pemain semakin ghairah untuk mencari gol, tetapi kita dihukum dengan kealpaan apabila membiarkan pasukan lawan pula menambah dua gol hasil jaringan pemain gantian mereka,” katanya selepas tamat perlawanan.
Mengulas lanjut, pengendali import dari Australia itu enggan pasukan terus berduka sebaliknya memberi tumpuan penuh pada perlawanan kedua menentang seteru tradisi, Thailand malam esok.
“Kita telah bertemu Thailand beberapa kali sebelum ini pada aksi kelayakan Piala Asia B-23 lepas dan Sukan SEA 2021. Saya percaya, kedua-dua pasukan membuat persiapan terbaik untuk mengharungi perlawanan tersebut,” katanya.