PETALING JAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memaklumkan bahawa kerja baik pulih sedang dijalankan di menara komunikasi di Bukit Bunga, Serting Tengah, Negeri Sembilan yang terbakar 28 Mei yang lalu.
SKMM dalam satu kenyataan berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 3.00 petang melibatkan sebuah menara komunikasi milik pihak Maxis yang diguna sama oleh pihak Maxis, Celcom, Digi, dan U-Mobile.
“Insiden kebakaran tersebut telah memusnahkan kelengkapan dan kabel yang berada pada struktur menara.
“Bagaimanapun, punca kebakaran di menara komunikasi berkenaan belum diketahui dan masih dalam siasatan pihak bomba, ” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
SKMM berkata, berikutan daripada insiden tersebut, perkhidmatan terjejas serta gangguan liputan dijangka berlarutan untuk tempoh beberapa hari akan datang.
Kemusnahan pada struktur menara ini juga mengakibatkan gangguan perkhidmatan di beberapa buah menara yang bersambungan iaitu di Felda Pasoh 3 dan Kampung Padang Lebar.
“Sebagai langkah sementara, Mobile Communications Vehicle dan Base Transceiver Station akan digerakkan ke lokasi kejadian untuk memberikan perkhidmatan sehingga kerja-kerja baik pulih siap yang sudah dimulakan sepenuhnya,” katanya.
Jelas MCMC, dijangkakan rangkaian komunikasi yang terjejas akan pulih sepenuhnya. -KOSMO! ONLINE