IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak menumpaskan satu sindiket penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi dalam serbuan di Kawasan Perindustrian Silibin di sini, semalam.
Pengarah KPDNHEP Perak, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, serbuan ke atas premis itu pada pukul 10.30 pagi hasil risikan dan pemantauan oleh pihaknya sejak dua minggu lalu.
“Serbuan terhadap premis itu dilakukan kerana disyaki menyimpan barang kawalan berjadual iaitu LPG tanpa permit dan dokumen yang sah.
“Dalam serbuan itu, kita merampas tujuh tong silinder LPG jenis C200 dengan anggaran berat 790 kilogram (kg) dan sebuah lori tangki LPG dengan anggaran berat 1,530 kg. Nilai keseluruhan rampasan adalah RM17,549.06,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Menurut beliau, kes tersebut disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974. – KOSMO! ONLINE