MADRID – Pengurus Portugal, Fernando Santos mempertahankan keputusannya untuk tidak menyenaraikan Cristiano Ronaldo dalam kesebelasan utama ketika terikat 1-1 dengan Sepanyol dalam aksi pembukaan Liga Negara-Negara Eropah, awal pagi semalam.
Santos menegaskan yang beliau tidak ada sebarang masalah untuk meletakkan Ronaldo di bangku simpanan dan hanya memasukkan sebagai pemain gantian selain menyifatkan Portugal sudah pun berjaya mempamerkan aksi menarik.
Keputusan jurulatih itu jelas mengejutkan ramai pihak, namun Santos kekal dengan keputusannya dan melabel pemain yang dipertanggungjawabkan sudah berikan aksi terbaik.
“Soal pengurusan akan berlaku dalam setiap perlawanan, begitu juga dalam aksi kali ini. Saya merasakan ini adalah jalan terbaik untuk kami memulakan perlawanan.
“Dari segi kerja dalam padang, ini adalah skuad Portugal yang berbeza. Ini jalan terbaik, namun saya tetap miliki Cristiano setiap kali saya memerlukannya dan ini adalah struktur biasa,” katanya.
Pada perlawanan itu, Alvaro Morata terlebih dahulu membuka jaringan buat tuan rumah, namun Ricardo Horta muncul penyelamat buat Portugal, menyumbangkan gol penyamaan.
Mengulas mengenai keputusan perlawanan, Santos juga lega untuk mencuri satu mata daripada Sepanyol dan menyifatkan ia adalah keputusan yang menarik untuk disaksikan.
“Walaupun sedikit kecewa, saya tetap gembira mampu mengikat Sepanyol. Sudah pasti ia bukanlah keputusan yang baik, namun ia bagus untuk kami sekaligus beri keyakinan kami juga mampu lakukan lebih lagi,” ujarnya. – AGENSI