PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang akan melanda empat negeri petang ini.
Metmalaysia dalam satu kenyataan berkata, keadaan cuaca di empat negeri itu dijangka berlarutan sehingga pukul 8 malam ini.
“Negeri yang terlibat adalah Perak membabitkan Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta dan Kampar manakala di Pahang pula membabitkan Tanah Tinggi Cameron dan Bentong.
“Kawasan di Sarawak melibatkan Kuching (Bau dan Kuching), Serian (Serian), Samarahan, Sri Aman (Sri Aman), Betong, Sarikei (Sarikei dan Meradong), Sibu (Sibu), Mukah (Tanjung Manis, Daro, Matu dan Dalat), Kapit (Bukit Mabong dan Belaga), Miri (Miri dan Marudi) dan Limbang (Limbang).
“Di Sabah pula membabitkan Pedalaman (Sipitang dan Keningau), Pantai Barat (Putatan, Penampang, Kota Kinabalu dan Tuaran), Tawau (Lahad Datu) dan Sandakan (Telupid),” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Tambah kenyataan itu lagi, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya. – KOSMO! ONLINE.