KUALA KANGSAR – Seorang wanita maut selepas terjatuh dari motosikal yang diboncengnya di Kilometer 17, Jalan Kuala Kangsar-Manong berhampiran Kampung Lempor Hilir di sini hari ini.
Dalam kejadian sekitar pukul 12 tengah hari itu, mangsa, Zuriati Laza Nazeri, 39, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa yang membonceng motosikal bersama saudara lelakinya itu dalam perjalanan dari arah Manong ke Kuala Kangsar.
Katanya, semasa melalui laluan yang sedang dalam pembinaan, penunggang berusia 59 tahun itu cuba memotong sebuah jentolak yang berada dalam kedudukan melintang.
“Motosikal itu cuba memotong jentolak tersebut dengan masuk ke laluan bertentangan dan semasa masuk semula ke laluan asal, kepala mangsa yang memakai helmet dipercayai bergesel dengan bahagian belakang jentera berkenaan.
“Kejadian itu menyebabkan mangsa terjatuh di atas jalan raya dan mengalami kecederaan parah. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat manakala penunggang motosikal tidak cedera.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengesan saksi bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE.