KUALA LUMPUR – Selangor Angels seperti sudah mempunyai jawapan untuk mengisi kekosongan ditinggalkan An Najwa Azizan yang berhijrah menyertai Johor Jewels pada saingan Sooka Netball Super League (NSL) 2022.
Ia berdasarkan prestasi meyakinkan yang dipamerkan goal shooter, Siti Aminah Ahmad selepas memainkan watak penting dalam kemenangan 64-36 ke atas Kedah Sunshine di Stadium Juara, Bukit Kiara hari ini.
Kapten Selangor Angels, Yati Akhtar Mahtar berpuas hati dengan keseluruhan prestasi rakan sepasukannya sebelum turun menentang juara bertahan, Kuala Lumpur (KL) Wildcats untuk aksi seterusnya malam esok.
“Dua pemain baharu amat membantu terutama (Siti) Aminah kerana dia adalah percaturan utama kami menggantikan An Najwa.
“Biasalah aksi pertama dia sedikit perlahan sebelum perlahan-lahan bangkit ke tahap sebenar. Berdasarkan prestasi hari ini, dia amat membantu pasukan.
“Kami cuba gunakan pelbagai kombinasi pemain supaya semua dapat bermain hari ini sebelum turun bertemu KL esok,” katanya.
Bukan sahaja Siti Aminah tetapi pemain-pemain lain terutama seorang lagi shooter Selangor Angels, Karishma S. Loganathan juga berjaya menghasilkan banyak jaringan buat skuad bimbingan Azizah Abu itu.
Corak permainan pantas ditunjukkan Selangor Angels juga memberi gambaran pasukan tempat ketiga musim lalu itu layak diangkat antara pencabar utama kejuaraan kali ini selain KL Wildcats dan Johor Jewels. – KOSMO! ONLINE