PUTRAJAYA – Malaysia akan terus bekerjasama dengan Norway bagi menggalakkan penggunaan produk minyak sawit dari negara ini yang dijamin tidak menjejaskan alam sekitar.
Perkara itu antara isu disentuh dalam mesyuarat dua hala antara Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dengan rakan sejawatnya, Anniken Huitfeldt di Oslo, Norway semalam.
Menerusi perkongsian dalam laman sosial rasmi Wisma Putra, beliau menyifatkan sesi lawatan rasminya selama tiga hari di Norway itu sebagai sangat produktif.
“Kami senada dalam usaha untuk meningkatkan kerjasama dalam pelbagai sektor termasuk usaha mempromosikan kelestarian minyak sawit dari Malaysia,” jelasnya penuh optimistik.
Norway menjadi negara terakhir dikunjunginya ketika mengadakan lawatan rasmi julung kali ke tiga negara rantau Skandinavia bermula Sweden pada 29 Mei lalu juga selama tiga hari.
Ini diikuti lawatan kerja beliau ke negara jirannya, Denmark selama dua hari bermula pada 1 Jun lepas sebelum diakhiri dengan Norway yang tamat esok sebelum pulang ke tanah air.
Norway muncul sebagai negara pertama di dunia yang mengharamkan biofuel berasaskan minyak sawit atas alasan kononnya komoditi itu telah memusnahkan hutan dan hidupan liar.
Langkah itu selaras dengan keputusan Kesatuan Eropah (EU) yang akan menyekat import segala produk diperbuat daripada minyak sawit menjelang 2030 terutamanya dari Malaysia.
Mengulas lebih lanjut, Saifuddin berkata, beliau senada dengan Huitfeldt dan memberikan jaminan bahawa minyak sawit dari negara ini dihasilkan secara lestari dan amat mesra alam.
“Kami juga menyentuh kerjasama erat dalam sektor politik, ekonomi, sosial, pendidikan, alam sekitar, pelancongan dan budaya selain usaha bagi pembanterasan rasuah,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE.