fbpx

Jururawat ditipu pelaburan dalam TikTok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUANTAN – Gara-gara tertarik dengan iklan pelaburan saham di laman sosial TikTok, seorang penjawat awam akhirnya menanggung kerugian sehingga RM20,130 selepas terpedaya dengan pelaburan palsu terbabit.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Deputi Superintendan Yap Huat Tian berkata, mangsa adalah seorang wanita berusia 44 tahun dan bekerja sebagai seorang jururawat di sebuah hospital kerajaan.

“Kejadian bermula 20 Mei lalu apabila mangsa melihat iklan pelaburan saham di TikTok dan berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pelaburan berkenaan dan telah menghubungi nombor telefon yang tertera pada iklan itu.

“Mangsa diberitahu bahawa syarikat Aladdin Kapitol merupakan syarikat pelaburan saham emas, petroleum dan gas malah mangsa turut ditawarkan dengan empat pakej pelaburan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Katanya, mangsa telah memilih pakej gold dengan bayaran sebanyak RM250 dan akan menerima pulangan sehingga RM7,800 dalam masa lapan hingga 12 jam.

“Selain itu, mangsa juga telah memberikan maklumat diri seperti yang diminta oleh suspek bagi menyertai pelaburan berkenaan dan dalam tempoh 29 Mei hingga 2 Jun, mangsa telah membuat enam transaksi bayaran berjumlah RM20,130 ke dalam pelbagai akaun bank atas nama berbeza.

“Suspek turut meminta mangsa membayar RM5,620 sebagai komisien staf pelaburan namun mangsa enggan membuat pembayaran berkenaan dan merasakan dirinya telah ditipu sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh, semalam,” katanya.

Yap berkata, kes berkenaan masih disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan pihak polis menasihat orang ramai supaya tidak mudah mempercayai apa-apa pelaburan yang begitu mudah menjana keuntungan berlipat ganda dalam masa yang singkat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI