WANNS AHMAD, sepotong nama yang mungkin pernah didengari atau langsung tidak pernah terlintas dalam pengetahuan khalayak.
Hampir sedekad mendambakan diri dalam dunia seni selepas tamat persekolahan, namun identiti anak jati kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu masih samar-samar.
Dalam bahasa paling mudah, masih ramai belum mengenali dengan lebih dekat siapa Wanns Ahmad yang sebenarnya.
Cuma, sejak kebelakangan ini, namanya tiba-tiba tular dalam media sosial dek wajahnya yang dikatakan saling tak tumpah dengan pelawak terkenal Zizan Razak.
Bukan setakat Zizan, ramai juga pengguna media sosial terutama TikTok menyamakan dirinya dengan pelakon kacak popular, Shukri Yahaya.
Persamaan yang diperkatakan bukan setakat mengenai wajah, tetapi turut menyentuh aspek percakapan, tona suara, mimik muka, tingkah laku dan apa sahaja tindak-tanduk Wanns.
“Bab wajah saya disamakan dengan Zizan dan Shukri itu betul. Walaupun sampai sekarang pun saya masih disamakan dan mungkin dikenali atas faktor tersebut.
“Pada awalnya saya okey sahaja sebab rasakan mungkin mereka mahu mengenali dan selesa dengan cara itu.
“Secara tidak langsung, jadi publisiti percuma buat saya,” katanya kepada HibGlam.
Mental
Pada mulanya perkara tersebut langsung tidak mendatangkan sebarang kesan, malah membantunya memacu jenama Wanss Ahmad walaupun dengan cara menggunakan nama orang lain.
Terus berkongsi rasa usai sesi penggambaran tempoh hari, Wanns mendedahkan, lama-kelamaan dia mula berasa muak apabila acapkali disamakan sedemikian rupa.
“Lama-kelamaan, jujurnya saya naik muak dan bosan dengan perkara ini. Tiap hari kalau buka laman sosial terutama TikTok dan Instagram, ada sahaja yang menyapa saya dengan nama Zizan.
“Ada juga yang DM (mesej) bertanyakan, adakah saya adik kepada Zizan, saudara terdekat atau pertalian darah dengan Zizan.
“Mulanya saya okey dan layan satu demi satu soalan mereka. Tapi lama kelamaan saya rasa bosan dan benda ini secara tak langsung ganggu mental,” getusnya.
Wanns atau nama sebenarnya Wan Nursalam Wan Ahmad menambah, paling membuatkan mental berserabut apabila ada mesej-mesej daripada netizen yang mendakwa dia sengaja meniru gaya dan suara seperti pelawak terkenal itu untuk melobi diri.
“Perkara sebegitu paling boleh buat saya gila. Ada yang kata saya ini klon kepada Zizan dan saya sengaja ‘try hard’ (terlalu mencuba) tiru apa sahaja yang dilakukan Zizan demi meraih populariti.
“Pernah satu ketika, apabila saya baca, saya rasa macam nak terjun bangunan sahaja. Sebab perkara ini boleh buat saya mental lebih-lebih lagi dengan penyakit anxiety (kegelisahan melampau) yang saya hidapi sejak remaja.
“Mungkin ramai tak tahu tentang anxiety yang saya hadapi. Saya sendiri pun tak pernah dedahkan kepada mana-mana media. Jadi tolonglah, saya mohon biarlah komen yang berpada-pada dan jaga sensitiviti orang lain juga.
“Tak semua perkara boleh dijadikan gurauan buat seseorang. Bukan saya mahu meraih simpati atau kasihan daripada anda semua, tetapi cukup sekadar memahami dan selami apa yang saya rasa selama ini,” katanya yang secara peribadi langsung tiada sebarang masalah peribadi dengan pelawak asal Terengganu itu.
Jenama
Tutup soal penyakit dan apa yang dihadapi selama ini, Wans menyifatkan semua yang berlaku barangkali berpunca daripada kesilapan sendiri.
Kesilapan yang dimaksudkan itu adalah berkait rapat dengan jenama Wanns Ahmad itu sendiri.
“Ya, saya akui itu kesilapan saya. Kalau ditanya apa fokus saya dalam bidang seni ini, tentulah nyanyian dan lakonan sebagai platform kedua.
“Saya sendiri pun masuk dalam industri sebagai penyanyi, tetapi masih ramai tidak tahu mengenai itu sampai ada yang terkejut dan berkata bila masa Zizan ada lagu dan menyanyi.
“Tetapi, mana yang kenal itu kenallah. Kalau sebelum ini saya memang ada label pengurusan sendiri, tapi itu sekejap sahaja dan sekarang saya memang bergerak sendiri,” tuturnya.
Ditebak mengenai rezekinya yang kini dilihat lebih banyak ke arah lakonan, Wanns bersyukur dengan tawaran dan kepercayaan pengarah kepadanya.
Buat masa sekarang, aktiviti seninya banyak memenuhi tawaran lakonan dan mengacara berbanding nyanyian dan muzik.
Bagaimanapun, semua itu bukan bermaksud cintanya terhadap nyanyian telah pudar, cuma peluang lakonan lebih menyebelahinya.
“Saya masih buat lagu. Sekarang pun ada beberapa senarai lagu yang saya sedang siapkan untuk diri sendiri dan penyanyi lain.
“Tapi buat masa ini memang sibuk dengan penggambaran drama dan telefilem. Alhamdulillah rezeki dalam lakonan lebih menyerlah sejak dua tahun kebelakangan ini,” katanya.
Menutup perbualan, Wanns berharap, kehadirannya dalam industri seni dapat diterima selain terus diberikan peluang untuk lebih semangat menghasilkan karya bermutu selepas ini.