MUSIM bola sepak 2021/2022 sudah melabuhkan tirai apabila juara setiap liga juga sudah diketahui, namun tugas bagi kelab bola sepak masih belum berakhir apabila mereka kini sibuk dengan perancangan kem latihan pramusim pula selepas ini.
Memasuki setiap kali musim panas, ada satu lagi agenda penting yang perlu dihadapi oleh kelab bola sepak khususnya di Eropah apabila mereka bakal memulakan ‘perang’ mendapatkan pemain baharu.
Jendela perpindahan kali ini bakal dibuka bermula 10 Jun dan berakhir 1 September nanti dengan jangkaan melibatkan urusan perpindahan bernilai berbilion ringgit dijangka membanjiri pasaran kali ini.
Bagi kelab yang kaya, jendela ini sangat penting untuk mereka mencari pemain-pemain baharu yang dianggap mampu untuk menguatkan pasukan dalam misi menguasai liga masing-masing.
Biarpun semua kelab mempunyai cita-cita memenangi kejuaraan dan membina pasukan yang kuat, namun masih ada pasukan yang cuba mengimbangi kekuatan kelab dalam bersaing dengan kemampuan kewangan.
Borussia Dortmund misalnya menjadi salah satu pasukan yang berjaya mencipta kemasyhuran dan menjana pendapatan kelab selain dianggap ‘kilang’ melahirkan pemain berkelas A dalam pasaran di Eropah.
Keupayaan mereka menggilap dan mengenal pasti bakat menjadikan Dortmund mampu meraih keuntungan yang banyak hasil penjualan para pemain mereka.
Bermula 2015 hingga 2021, Dortmund berjaya meraih keuntungan sebanyak 789.7 juta euro (RM3.7 bilion) hasil penjualan pemain dengan Ousmane Dembele menjadi pemain termahal apabila mereka menjualnya ke Barcelona dengan harga 140 juta euro (RM656.40 juta) pada 2017.
Satu kajian yang dilakukan oleh Pusat Pengajian Sukan Antarabangsa (CIES) juga telah mengeluarkan senarai 25 pasukan yang berjaya mendapatkan keuntungan yang lumayan hasil daripada penjualan para pemain yang berasal dari akademi mereka sendiri.
Benfica mendahului senarai berkenaan apabila berjaya meraih sebanyak 379 juta euro (RM1.77 bilion) sejak 2015 lalu menjual pemain yang dikategorikan sebagai ‘home-grown’ di mana mereka ini berada di kelab tersebut sekurang-kurangnya selama tiga tahun ketika berusia 15 hingga 21 tahun.
Gergasi Liga Portugal itu juga berjaya membawa masuk sejumlah 864.05 juta euro (RM4.05 bilion) ke akaun mereka sejak 10 tahun lalu bermula tahun 2000 hasil penjualan pemain-pemain mereka.
Antara yang menyumbang kepada pendapatan tersebut adalah apabila mereka berjaya ‘membekalkan’ beberapa pemain seperti Angel di Maria, David Luiz, Axel Witsel, Nemanja Matic, Jan Oblak, Bernardo Silva,
Joao Cancelo Renato Sanches, Goncalo Guedes, Nelson Semedo, Victor Lindelof, Luka Jovic dan Joao Felix ke pentas dunia.
Urusan perniagaan yang paling bijak dilakukan Benfica adalah ketika mereka menjual Jovic ke Real Madrid dengan nilai 63.40 juta euro (RM297.24 juta) selepas membelinya dari Eintracht Frankfurt pada harga 7.04 juta euro (RM33.01 juta) sahaja.