CANBERRA – Sepasukan penyelidik menemui tumbuhan terbesar di dunia di perairan Australia Barat yang meliputi kawasan lebih 160 kilometer dan hidup selama beribu-ribu tahun, lapor agensi berita United Press International kelmarin.
Berdasarkan kajian yang diterbitkan dalam jurnal Proceedings of the Royal Society B itu, rumpai laut Posidonia australis atau dikenali sebagai rumpai reben, tumbuh di kawasan seluas 180 kilometer di dasar laut Shark Bay dan dianggarkan berusia kira-kira 4,500 tahun.
Pasukan penyelidik Universiti Australia Barat (UWA) itu pada awalnya, merancang untuk membuat kajian mengenai kepelbagaian genetik di kawasan tersebut, namun menemui sejenis tumbuhan di perairan cetek yang disinari matahari.
Salah seorang penyelidik berkenaan, Jane Edgeloe berkata, pasukannya mengambil sampel rumpai laut dari persekitaran di pantai tersebut.
“Hasilnya amat menakjubkan. Hanya terdapat satu jenis tumbuhan yang tumbuh di kawasan sepanjang 180 kilometer di Shark Bay, menjadikannya tumbuhan terbesar dunia yang telah dikenal pasti,” katanya.
Rumpai laut itu tidak membiak, sebaliknya berasal daripada anak benih tunggal yang membesar selama beribu-ribu tahun.
Ia juga merupakan sejenis poliploid yang mengandungi 100 peratus genom berasal daripada induk dan bukannya berkongsi 50 peratus genom.
“Tumbuhan poliploid kebiasaannya tumbuh di habitat-habitat yang mempunyai persekitaran melampau, tidak boleh menghasilkan biji benih baharu, namun boleh terus tumbuh jika dibiarkan tanpa gangguan.
“Inilah apa yang berlaku kepada rumpai laut gergasi ini,” kata penulis kanan kajian tersebut, Elizabeth Sinclair. – Agensi