KUALA LUMPUR – Polis melumpuhkan dua sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah menerusi tiga serbuan dengan merampas 696 kilogram (kg) dadah bernilai RM25.3 juta di Selangor dan Kedah.
Difahamkan, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Selangor menjalankan serbuan itu pagi semalam dan awal pagi tadi.
“Serbuan pertama dijalankan pada pukul 2.30 pagi itu berjaya menahan seorang lelaki berusia 40 tahun.
“Hasil serbuan itu polis merampas syabu seberat 404.3 kg, heroin (7.7 kg) dan pil ekstasi (35.3 kg),” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, dua serbuan terakhir dijalankan pada pukul 12.50 pagi tadi bersama JSJN Selangor dan Kedah yang membawa kepada penahanan empat suspek termasuk seorang wanita berusia 25 hingga 39 tahun.
Jelasnya, serbuan itu membawa kepada rampasan syabu seberat 248.7 kg bernilai RM8.95 juta menjadikan jumlah keseluruhan bahan terlarang yang dirampas seberat 696kg bernilai RM25.3 juta.
Menurut Ayob, kedua-dua sindiket itu aktif sejak hujung tahun lalu dengan menjadikan premis kediaman sebagai tempat menyimpan dadah sebelum diseludup ke negara jiran.
Tambahnya, sindiket dipercayai mendapatkan bekalan dadah dari sempadan Thailand, Laos dan Myanmar.
“Kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE