SEPANG – Seorang pekerja syarikat perkapalan berputih mata apabila jam tangan yang ingin dijualnya dilarikan seorang lelaki dalam kejadian di Kota Warisan, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, mangsa terlebih dahulu bertemu dengan suspek di sebuah restoran untuk urusan jual beli jam tangan jenis G Shock Frogman.
Namun, ketika urusan jual beli itu, suspek memberi alasan untuk ke kereta bagi mengambil alat pengecas mudah alih sebelum lesap bersama jam tangan tersebut.
Mangsa, Ahmad Firdaus Muhamad,27, berkata, sebelum itu, dia memuat naik gambar jam itu untuk dijual di Facebook pada malam Rabu lalu sebelum suspek dikenali sebagai Aiman bersetuju untuk membelinya dengan harga RM1,400.
“Saya bersetuju untuk bertemu dengan lelaki tersebut dan ketika urusan jual beli itu suspek telah bersetuju dengan harga yang ditawarkan.
“Tidak lama kemudian, dia memberi alasan mahu ke kereta dengan meninggalkan beg silang berisi dompet di atas meja makan. Namun, selepas jam dilarikan, saya dapati dompet itu kosong dan beg silang itu tidak mengandungi barangan berharga,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, dia sudah membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang semalam beserta beberapa bukti termasuk gambar suspek dan profil suspek di Facebook.
Semalam, tular di laman Facebook mengenai tindakan licik suspek itu beserta beberapa bukti termasuk gambar suspek serta jam tangan berkenaan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Md. Noor Aehwan Mohammad ketika dihubungi mengesahkan telah menerima laporan kejadian itu semalam.
Katanya, polis sedang mengesan suspek dan kes berkenaan sedang dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE.