fbpx

Padah suri rumah jual air ketum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Polis merampas 150 bungkusan dan sembilan botol air ketum yang ditemui di lantai tandas sebuah rumah di Kampung Baru, Arau pada semalam.

ARAU – Ibu kepada seorang anak yang disyaki menjadi pembekal air ketum kepada penagih air daun tumbuhan itu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Baru di sini semalam.

Suspek berusia 40 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Arau kira-kira pukul 4 petang.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, pihaknya menemui sebanyak 150 bungkusan plastik dan sembilan botol mengandungi air ketum di atas lantai tandas dekat dapur rumah tersebut.

“Kesemua air ketum yang dirampas dianggarkan sebanyak 59 liter bernilai RM690 dan semua barang kes dirampas untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Kata beliau, suspek mengaku bahawa bungkusan plastik dan botol berisi air ketum itu adalah miliknya bagi aktiviti jual beli di sekitar kawasan Kampung Baru Kepala 10 di Tambun Tulang di sini.

“Air ketum dijual pada harga RM4 sebungkus dan RM10 sebotol yang mana kita percaya suspek sudah menjalankan kegiatan ini sejak enam bulan lalu,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI