KUALA KANGSAR – Misteri kehilangan seorang lelaki sejak dua minggu lalu terjawab dengan penemuan mayat mangsa di kawasan semak berhampiran jalan utama di Kampung Buaya Menora, di sini hari ini.
Mayat lelaki berusia 20 tahun yang telah reput itu ditemukan orang awam di tepi sungai pada pukul 4.45 petang sebelum melaporkan kepada pihak polis.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, pemeriksaan di lokasi kejadian menjumpai mayat mangsa yang masih lengkap berpakaian dan memakai topi keledar di tebing sungai.
Katanya, turut dijumpai berhampiran mayat lelaki itu sebuah motosikal dipercayai milik mangsa.
“Keadaan mayat yang telah reput itu menampakkan tulang pada bahagian tangan dan kaki namun masih mengekalkan bentuk tubuh dengan pakaian juga masih di badan.
“Semakan mendapati, mangsa disyaki Muhammad Allif Hakimi Zakaria iaitu individu yang dilaporkan hilang pada 18 Mei lalu berdasarkan kad pengenalan yang dijumpai di dalam beg pinggang mangsa,” katanya di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE