MILAN – Inter Milan mendapat khabar gembira apabila penyerang idaman mereka, Romelu Lukaku bersedia untuk mengurangkan jumlah gaji bagi memastikannya kembali ke San Siro secara pinjaman dari Chelsea.
Kelab gergasi Itali itu percaya bahawa pemain tersebut bakal bersedia menerima tawaran gaji lamanya sebelum dia berhijrah ke Stamford Bridge pada musim panas lalu.
Difahamkan, Lukaku bakal menerima pendapatan sebanyak £6.4 juta (RM35.07 juta) setahun sepanjang tempoh pinjaman berkenaan iaitu sekitar £125,000 (RM684,000) seminggu.
Jumlah itu menyaksikan Lukaku kehilangan hampir £3 juta (RM16.44 juta) pendapatan yang diterimanya selepas cukai ketika berada di Stamford Bridge musim lalu.
Lukaku terdesak untuk kembali ke Itali bersama Inter yang pernah mengangkat semula reputasinya sebelum ini selepas melalui musim yang mengecewakan di London menyebabkan dia sanggup kehilangan sejumlah pendapatannya itu.
Inter ketika ini berdepan masalah kekurangan dana selain terikat dengan Peraturan Kewangan Adil yang memerlukannya melepaskan beberapa pemain pada jendela perpindahan ketika ini bagi mengawal semula perbelanjaan gaji pemain.
Mereka tidak mampu untuk membeli semula Lukaku dari Chelsea menyebabkan jalan terbaik adalah rundingan mendapatkan pemain itu secara pinjaman ketika pengurus kelab itu, Thomas Tuchel seakan tidak lagi berminat untuk menggunakan khidmat pemain itu. – AGENSI