fbpx

KPB sebagai persediaan Bajet 2023 – Tengku Zafrul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Zafrul

PUTRAJAYA – Kementerian Kewangan (MOF) telah menerbitkan Kenyataan Pra-Bajet (KPB) sebagai persediaan untuk Bajet 2023 yang akan memberi keutamaan kepada memperkukuh momentum pemulihan ekonomi semasa dan meneruskan pembaharuan bagi meningkatkan daya tahan sosioekonomi.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, KPB ini merupakan penerbitan kedua dalam sejarah MOF selari dengan amalan terbaik global, menggalakkan wacana awam mengenai bajet negara serta meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti dalam proses penyediaan bajet.

Menurutnya, KPB pada tahun ini mengetengahkan tiga aspek utama merangkumi pemulihan, pembaharuan dan daya tahan ekonomi negara iaitu memanfaatkan momentum pemulihan yang memberangsangkan pada awal 2022 serta pertumbuhan dan peluang di peringkat global dijadikan asas kukuh dalam penyediaan Bajet 2023 bagi memperkukuh pemulihan Malaysia pasca Covid-19.

“Seterusnya, keperluan mengukuhkan daya tahan ekonomi dan fiskal negara pada tahun 2023 serta masa hadapan di samping menguruskan risiko pertumbuhan antaranya disebabkan oleh ketegangan geopolitik serta gangguan rantaian bekalan yang menyebabkan peningkatan harga komoditi dan makanan global secara drastik.

“Selain itu, peralihan strategik daripada fasa pemulihan semasa ke arah pembaharuan jangka masa panjang bagi mewujudkan peluang pendapatan yang lebih baik, meningkatkan kesejahteraan holistik serta pembangunan sosioekonomi yang lebih inklusif dan mampan demi Keluarga Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.- KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI