fbpx

Khatan : Lewat bertindak punca alat sulit gagal diselamatkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Tindakan lewat hospital dan beberapa pegawai perubatan termasuk doktor pakar mengambil langkah pantas untuk menyelamatkan kepala zakar seorang kanak-kanak yang terpotong ketika bersunat 12 tahun lalu telah menyebabkan kesengsaraan kepada mangsa.

Dalam penghakimannya, Hakim Datuk Akhtar Tahir berkata, daripada bertindak untuk menghantar mangsa ke Hospital Selayang dengan cepat, defendan pertama yang merupakan pegawai perubatan di Hospital Kuala Lipis menghabiskan masa dengan melakukan perkara remeh temeh.

“Keterangan saksi plaintif dan defendan turut menunjukkan bahawa prosedur yang sepatutnya dilakukan ialah bukannya menyambung semula kepala zakar yang terputus tetapi memelihara kepala zakar terbabit.

“Penyambungan kepala zakar itu hanya boleh dilakukan oleh pakar bedah mikro. Hospital Selayang pula walaupun telah dimaklumkan mengenai pemindahan mangsa ke hospital itu, tidak mengambil langkah yang sewajarnya untuk melakukan pembedahan,” kata hakim itu.

Hakim Mahkamah Tinggi itu berkata demikian dalam alasan penghakiman penuhnya yang dikeluarkan pada 27 Mei lalu dalam kes saman kecuaian yang difailkan oleh mangsa yang kini berusia 22 tahun terhadap Kerajaan Malaysia; Pegawai Perubatan Hospital Kuala Lipis, Pahang; Pengarah Hospital; doktor pakar dan pengarah Hospital Selayang, Selangor selaku defendan.

Saman tersebut difailkan pada 10 Julai 2018 oleh lelaki berkenaan melalui ibunya selaku plaintif (mangsa berusia 18 tahun ketika saman difailkan).

Turut dinamakan sebagai defendan sebelum ini ialah pembantu perubatan yang melakukan proses berkhatan itu namun, saman terhadap kakitangan hospital Kuala Lipis itu selesai sekitar 2019 selepas kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikannya di luar mahkamah.

Pada 7 April lalu, hakim tersebut memerintahkan kesemua defendan untuk membayar mangsa RM3.1 juta selepas membenarkan tuntutan samannya selepas memutuskan bahawa defendan-defendan telah melakukan kecuaian.

Mahkamah membenarkan tuntutan ganti rugi khas sebanyak RM108,356, ganti rugi am RM2 juta, ganti rugi teruk RM500,000, ganti rugi teladan RM500,000 dan kos RM100,000 dibayar kepada plaintif oleh kesemua defendan.

Menurut pernyataan tuntutan yang difailkan sebelum ini, insiden malang tersebut berlaku di sebuah premis kediaman di Kuala Lipis ketika lelaki itu berusia 10 tahun yang mana keseluruhan kepala zakar mangsa terpotong dan penyambungan semula tidak dilakukan tanpa mengikut prosedur yang betul.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI