PETALING JAYA – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Earthworm Foundation (EF) memeterai satu memorandum perjanjian bagi memperkasakan pekebun kecil persendirian dalam Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) daripada aspek pengurusan alam sekitar dan hidupan liar serta melaksanakan amalan pertanian baik (GAP) seperti digariskan dalam Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).
Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata MPOB mempunyai kepakaran dalam membantu memperkasakan pekebun kecil melalui insentif integrasi tanaman dan insentif integrasi ternakan dengan sawit, penubuhan Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) dan khidmat nasihat sawit secara percuma kepada pekebun kecil persendirian.
Menurut beliau, EF atau sebelum ini dikenali sebagai The Forest Trust telah pun aktif di lapangan sejak 20 tahun lepas merentasi lima benua dalam membantu pihak kilang dan ladang mengeluarkan produk sawit yang mesra alam serta meningkatkan taraf hidup pekebun.
Sejak 2010, EF mula aktif di Malaysia dengan menyokong aktiviti kilang penapis, kilang sawit, ladang dan pekebun kecil sawit dalam usaha memperkasakan amalan mampan bagi memenuhi permintaan pasaran minyak sawit, kata beliau.
“Perjanjian ini merupakan antara usaha MPOB untuk melahirkan pekebun kecil berwawasan dan mempunyai daya saing yang tinggi. Ia juga akan titik permulaan kepada kerjasama penting antara MPOB dan EF,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan bersempena majlis pemeteraian perjanjian di Kinabatangan, Sabah semalam.
Ahmad Parveez menjelaskan, perjanjian tersebut juga adalah antara usaha MPOB untuk meningkatkan kesedaran dan mengembangkan daya saing pekebun kecil serta meningkatkan keupayaan mereka menghasilkan minyak sawit lestari memandangkan pekebun kecil menyumbang 28 peratus daripada pengeluaran minyak sawit negara.
Ia juga bakal menyediakan situasi menang-menang kepada kedua-dua pihak yang sekali gus akan menyumbang kepada kemajuan industri sawit negara.
Sehingga 30 April 2022, MPOB telah membantu seramai 167,549 pekebun kecil persendirian seluruh Malaysia (76.62 peratus) memiliki sijil, manakala bagi negeri Sabah pula seramai 25,691 (81.31 peratus) pekebun kecil telah menerima sijil daripada MSPO.
Di Kinabatangan, terdapat tiga SPOC (SPOC S19, S20 dan S21) yang merangkumi kawasan
Bukit Garam, Batu Puteh dan Sukau. Seramai 2,589 pekebun kecil dengan keluasan 15,993.6 hektar telah dipersijilkan MSPO di kawasan Kinabatangan. -KOSMO! ONLINE