PASIR MAS – Seorang juruteknik komputer dicekup selepas dipercayai membuat penyambungan elektrik secara haram untuk melombong bitcoin dalam serbuan di rumah teres dua tingkat miliknya di Jalan Pasir Pekan di sini semalam.
Dalam serbuan kira-kira pukul 12.30 malam itu, sepasukan anggota polis dan juruteknik khas Tenaga Nasional Berhad (TNB) dari Kuantan, Pahang merampas sebanyak 37 unit mesin bitcoin dan pelbagai kelengkapan lain bernilai RM35,000 untuk menjalankan kegiatan tersebut.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, semasa serbuan dijalankan, suspek yang berusia 32 tahun mengaku dia merupakan pemilik rumah berkenaan.
Menurutnya, pemeriksaan polis dan juruteknik TNB mendapati berlaku kegiatan pemasangan mesin bitcoin dan mencuri elektrik di rumah itu.
“Siasatan awal mendapati, rumah suspek dijadikan sebagai markas untuk melombong bitcoin dan pusat pelayan (server) kegiatan tersebut dengan menggunakan bekalan elektrik melalui penyambungan secara haram.
“Kegiatan itu telah menyebabkan TNB mengalami kerugian yang tinggi. Sehubungan itu, TNB telah memotong bekalan elektrik di rumah suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mohd. Nasaruddin, suspek telah ditahan dan kesemua peralatan yang digunakan untuk kegiatan itu turut dirampas.
Katanya, siasatan lanjut akan dijalankan selepas suspek mendapat perintah reman hari ini. – KOSMO! ONLINE.