fbpx

Dr. Suffia Hany aktif berkongsi penjagaan kulit mulus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MASIH mampu mengekalkan kecantikan meskipun telah berusia 47 tahun.

KECANTIKAN dan kemulusan kulit dimiliki Dr. Suffia Hany Mohd. Amin pastinya dicemburui ramai wanita di luar sana.

Disebabkan itu, ada beranggapan dirinya baru berusia sekitar 30-an. Hakikatnya, wanita berasal dari Klang, Selangor itu telah menjengah usia 47 tahun.

Sebagai pakar estetik, dia sentiasa percaya kejelitaan seseorang wanita bukan terletak pada luaran semata-mata, bahkan dalaman terutamanya berkaitan emosi dan keutuhan rumah tangga.

Dr. Suffia Hany mengakui, keremajaan kulit dan keanggunan tubuh dapat dikekalkan sekiranya seseorang menjaga pemakanan serta bersenam mengikut waktu.

“Meskipun seorang pakar estetik, saya percaya segalanya bermula daripada kesihatan dalaman. Kalau dalaman sihat, maka terserlah kejelitaan seseorang wanita itu,” katanya ketika ditemu bual Aura baru-baru ini.

Dr. Suffia Hany merupakan seorang usahawan produk kecantikan serta sebuah medispa.

Perniagaan diusahakan sejak 2008 itu sering menjadi tumpuan wanita termasuk orang kenamaan bagi mendapatkan rawatan kecantikan.

Menurutnya, dia menceburi bidang estetik atas dasar ingin memenuhi permintaan ramai wanita di luar sana yang mahu berpenampilan cantik dan menawan.

“Ramai wanita datang mengadu kepada saya mereka mengalami masalah jerawat dan berat badan. Mereka minta saya tolong supaya kelihatan lebih cantik.

“Lagi pula, bidang estetik ini kena dengan jiwa saya yang sukakan seni,” ujarnya.

Rentetan itu, dia mula menjadi perhatian pelbagai pihak, kelab atau persatuan untuk memberi kursus berkaitan kecantikan.

DR. SUFFIA HANY bergambar bersama sebahagian pekerjanya di Kota Damansara, Selangor.

“Saya memegang prinsip, sebaik-sebaik manusia adalah orang yang memberi manfaat kepada orang lain. Saya berpendapat, ilmu yang ada tidak seharusnya disimpan, sebaliknya perlu dikongsi bersama masyarakat. Jadi, saya mula menulis artikel dan memenuhi undangan muncul di kaca televisyen bagi mengupas isu kesihatan dan kecantikan wanita.

“Kini, saya sudah mula menerima jemputan untuk mengajar dalam kursus atau bengkel berkaitan kecantikan di Kolej Vokasional dan Universiti Malaysia Kelantan, selain Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar di bawah Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan,” terangnya.

Sejajar dengan kursus-kursus yang dianjurkan, Dr. Suffia Hany sangat berpuas hati dapat membantu dan mendidik ramai golongan B40 untuk menjadi usahawan dalam bidang mobile spa dan solekan.

Penglibatan aktifnya itu melayakkan Dr. Suffia Hany merangkul anugerah Nona Superwomen Award pada tahun 2018 menerusi kategori Nona Best Aesthetic Award.

Mengimbau kembali perjalanannya dalam bidang kedoktoran, dia mengakui kerjaya itu dipilih atas permintaan keluarga meskipun lebih berminat dengan bisnes.

Dia memaklumkan, keluarganya mengetahui Dr. Suffia Hany mempunyai sifat penyayang, suka menolong dan tidak boleh melihat orang berada dalam kesakitan.

“Saya memang tidak boleh ada orang sakit, kucing sakit pun saya bawa balik rumah.

“Mungkin bersandarkan sifat ini, keluarga menggalakkan saya menyambung pengajian dalam bidang perubatan,” katanya.

DR. SUFFIA HANY komited membantu wanita yang ingin tampil jelita.

Selepas menamatkan pengajian di Universiti Malaya, dia berkhidmat di beberapa hospital kerajaan sebelum berpindah ke klinik kesihatan dan akhirnya membuka klinik sendiri pada 2008.

“Mulanya, klinik ini hanya memberi khidmat perubatan biasa sebelum beralih kepada estetik. Ilmu estetik ini saya pelajari dengan mengikuti kursus di Itali, Turki, Korea Selatan dan Australia.

“Sebagai seorang masih mentah dalam dunia perniagaan, saya juga menghadiri pelbagai kursus dan seminar bagi meningkatkan ilmu dalam bidang perniagaan. Bagi saya, ilmu adalah rezeki,” ujarnya yang kini boleh berbangga memiliki 10 pekerja.

Walaupun sibuk dengan tugas harian, Dr. Suffia Hany tidak pernah melupakan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu kepada dua cahaya mata berusia 15 dan 23 tahun.

Dia juga sering menghabiskan masa lapang dengan menjelajah pulau-pulau di dalam negara bagi aktiviti selaman skuba untuk melihat keindahan ciptaan Tuhan.

“Saya ini seorang yang komited dengan kerja. Sebelum ini, memang tidak ada aktiviti luar atau hobi. Sejak lima tahun lalu, saya mula berjinak-jinak dengan selaman skuba. Aktiviti ini dapat merehatkan minda,” tuturnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI