INDUSTRI K-pop tiba-tiba dikejutkan dengan berita pengunduran seorang anggota kumpulan Weekly iaitu Ji-yoon.
Berita tersebut turut disahkan agensi mereka, IST Entertaiment yang menjelaskan, Ji-yoon mengambil keputusan tersebut akibat masalah anxiety (kegelisahan melampau) yang dialaminya.
“Kami ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Daileee’ (nama kelab peminat) atas kasih sayang besar yang anda berikan kepada Weekly selama ini.
“Kami ingin menyampaikan pengumuman mengejut ini dengan hati yang berat. Selepas mengalami dan didiagnos dengan masalah anxiety Ji-yoon membuat keputusan mahu menarik diri daripada kumpulan Weekly.
“Justeru, Ji-yoon boleh memberi fokus utamanya terhadap rawatan susulan yang bakal diterimanya selepas ini,” tulis kenyataan yang dimuat naik dalam Twitter rasmi agensi tersebut.
Tambah agensi, setelah berbincang dan mencapai kata putus, Ji-yoon sebenarnya menamatkan kontraknya bersama Weekly sebagai penyanyi berkuat kuasa 1 Jun.
Terdahulu, Weekly membuat debut pada 30 Jun 2020 dan dianggotai tujuh anggota.