LONDON – Juara Copa America, Argentina memahat sejarah tersendiri apabila melebarkan rekod tanpa kalah kepada 32 perlawanan berturut-turut selepas menewaskan Itali 3-0 di Stadium Wembley awal pagi semalam.
Kemenangan itu membolehkan La Albiceleste menjulang trofi Finalissima yang diperkenalkan buat kali pertama tahun ini sebagai inisiatif Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) dan Persatuan Bola Sepak Amerika Selatan (Conmebol) bagi mempertemukan juara Euro dan juara Copa America tahun lalu.
Tiga gol daripada Lautaro Martinez, Angel Di Maria dan Paulo Dybala memberi gambaran Argentina ketika ini berada pada landasan tepat untuk menamatkan penantian bergelar juara dunia pada Piala Dunia Qatar 2022.
Kali terakhir Argentina menjuarai Piala Dunia adalah pada edisi Mexico 1986.
Bagaimanapun, Ketua Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni mengambil pendekatan merendah diri apabila menyifatkan pasukannya masih banyak kelemahan meskipun menguasai keseluruhan aksi ke atas Itali.
“Piala Dunia amat berbeza dengan perlawanan ini. Kami akan berdepan masalah jika merasakan segalanya sudah sempurna untuk menghadapinya.
“Tahap tekanan yang bakal dirasai pemain sama sekali berbeza. Namun, saya akui kemenangan demi kemenangan dapat memberikan keyakinan tinggi dalam persediaan para pemain,” katanya.
Sebagai rekod, kali terakhir Argentina tewas adalah 0-2 kepada seteru utama, Brazil dalam aksi separuh akhir Piala Copa America 2019 sebelum melunaskan dendam itu ketika final kejohanan sama tahun lalu.
Rentetan 32 perlawanan tanpa kalah itu merupakan rekod baharu yang dicipta Argentina yang kini hanya kekurangan lima aksi lagi untuk mengatasi rekod terpanjang sepanjang zaman dilakukan Itali tahun lalu. – AGENSI