fbpx

3 kali tertunda, Razzuan Rosli akhirnya jadi penyanyi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAZZUAN ROSLI

DALAM industri hiburan tanah air, jejaka bernama Razzuan Rosli bukanlah orang baharu. Langkahnya bermula sebagai pelakon bahkan pernah menyertai program Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2019.

Di pentas lakonan juga dia berjaya membuktikan bakat dimiliki selain berjaya mengumpul peminat tersendiri.

Namun, cabaran baharu buat Razzuan Rosli apabila berjinak-jinak dalam nyanyian apabila muncul dengan single berjudul Akur terbitan Universal Music Malaysia.

Akur merupakan ciptaan Shah, Tam Cobain, Sin Syim dan lirik oleh Sulu Sarawak.

Siap terakam sejak tahun 2020, hasrat pelancaran Akur ketika itu bagaimanapun tergendala sebanyak tiga kali ekoran situasi semasa negara dek penularan Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

BERMULA sebagai pelakon, Razzuan Rosli kini membuat percubaan menerusi single pertama berjudul Akur.

“Sebenarnya lagu ini sudah siap dirakam pada 2020. Jadi perancangannya enam bulan selepas rakam, nak dilancarkan.

“Pada masa itu saya fikir mungkin ada sebab dan hikmah semua ini berlaku. Mungkin kalau lancar pada masa itu, saya sendiri tak yakin boleh menyanyi secara langsung pada masa itu sebab saya bukannya penyanyi yang bagus sangat, jadi perlukan banyak latihan,” katanya.

Dalam masa sama, Razzuan berkata rakaman single sulung tersebut satu pengalaman berharga dalam hidupnya.

“Saya tak pernah tengok orang buat rakaman lagu, jauh sekali nak lalui situasi rakam lagu sendiri. Jadi, masa nak rakam lagu ini ia pertama kali masuk studio. Saya macam tercengang-cengang sikit, dan baru tahu macam ni keadaan dalam studio.

“Selalu menyanyi di karaoke kita dengar suara kita. Tapi dalam studio bila nyanyi, dengar dalam telinga saja. Kalau salah sebut, atau salah ‘key’, dengar dengan jelas kesalahan itu. Pelik sebab tak biasa,” katanya.

Begitu juga ketika proses rakaman video muzik (MV) lagu Akur yang disifatkan Razzuan jauh berbeza dengan penggambaran drama.

“Untuk MV ini saya kena ‘miming’ dan beri ekspresi.

“Pengalaman paling tak boleh lupa adalah memulakan penggambaran dari pagi sampailah pukul 6 pagi keesokan harinya, memang satu hari.

“Sampai semua orang penat, tapi tetap bagi komitmen tinggi, terima kasih pada semua pasukan produksi,” katanya.

Pun begitu, setiap cabaran dilalui Razzuan sepanjang menyiapkan lagu Akur ini memberikannya ilmu baharu terutama dalam bidang muzik.

MASUK tahun ketiga terperap, Akur nyanyian Razzuan akhirnya dilancarkan

“Sebab tak pernah terbabit dengan mana-mana individu dalam bidang muzik. Saya mengikuti kelas vokal, bila orang terangkan, saya lambat sikit nak faham dan buat.

“Macam bekerja dengan Taja pula, dia berikan banyak ilmu baru sebab saya pertama kali rakamkan lagu, Ini benda baru,” katanya.

Berkongsi mengenai lagu Akur, Razzuan berkata lagu itu menceritakan bagaimana pasangan kekasih terpaksa akur dengan keputusan tentang perhubungan mereka.

“Liriknya memainkan peranan yang mana penggunaan perkataan yang digunakan bukan sering digunakan di luar.

“Lagu ini mengisahkan cinta dan perhubungan yang putus di tengah jalan.

Jika mengikut jalan cerita lagu ini, si wanita meninggalkan kekasihnya kerana nak sambung belajar. Lelaki itu terpaksa terima dan akur keputusan dibuat.

“Wanita itu juga akur terpaksa tinggalkan kekasih demi sambung belajar dan masa depan.

“Harapan saya besar orang boleh terima lagu ini dengan baik.

“Apatah lagi ini ‘baby’ pertama saya dalam muzik. Jadi saya harap orang boleh mendengar dan dapat sama-sama menyanyikan lagu ini. Sebab lagu ini ada korus yang ‘catchy’ dan mudah didendang. Orang kata lagu ini ‘easy listening’ dan boleh diterima baik,” katanya.

Akur kini tersedia di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music, manakala muzik videonya pula boleh ditonton di saluran YouTube Razzuan Rosli bermula 28 Mei 2022.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI