PUTRAJAYA – Jemaah haji Malaysia yang menjalani ujian pengesanan RT-PCR Covid-19 di fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) dilaksanakan secara percuma.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, bagi jemaah haji yang memilih untuk menjalani ujian di fasiliti kesihatan swasta, mereka perlu menanggung sendiri kos ujian tersebut mengikut caj yang dikenakan.
Katanya, keputusan pelaksanaan ujian PCR secara percuma itu susulan kerajaan Arab Saudi telah memperuntukkan kuota haji sebanyak 14,306 orang kepada Malaysia.
“Bagi memastikan operasi haji dilaksanakan dengan selamat dan lancar, Arab Saudi telah menetapkan prosedur pencegahan dan pengawalan penyakit yang ketat susulan daripada pandemik Covid-19.
“Semua jemaah haji perlu disahkan negatif Covid-19 menerusi ujian pengesanan RT-PCR dalam tempoh 72 jam sebelum ketibaan di Tanah Suci seperti yang ditetapkan Arab Saudi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Khairy Jamaluddin berkata, jemaah haji boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Pejabat Tabung Haji Daerah untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan perkara ini termasuklah senarai fasiliti kesihatan KKM yang menyediakan perkhidmatan ujian pengesanan Covid-19 (RT-PCR) ini. – KOSMO! ONLINE