PETALING JAYA – ‘Ada jahitan batu kristal Swarovski selain gunakan kain lace berkualiti’. Itu penjelasan seorang wanita selepas videonya menggayakan sehelai telekung bernilai RM16,000 tular di laman media sosial semalam.
Menurut pemilik telekung itu dikenali sebagai Haliza Maysuri, telekung berkenaan mampu mencecah nilai RM16,000 memandangkan ia dihiasi batu kristal Swarovski selain menggunakan kain yang banyak.
“Memang ada telekung yang mahal, malah ada daripadanya mampu mencecah nilai ratusan ribu ringgit kerana perinciannya dihiasi batu kristal dan kain mewah dalam kuantiti yang banyak.
“Jadi, ia bukanlah sesuatu yang pelik untuk mengenakan telekung bernilai RM16,000, kalau kita mampu, ia bukanlah perkara yang salah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini tadi.
Menurutnya yang juga pemilik Bawal Exclusive, pihaknya turut mengeluarkan telekung seumpama itu memandangkan menerima permintaan memberangsangkan daripada pelanggan di negara ini.
“Biasanya telekung seperti itu akan dipesan khas daripada pelanggan dan kami akan menyiapkannya mengikut citarasa dan kemampuan mereka,” ujarnya.
Terdahulu, video telekung itu yang dimuat naik di aplikasi Tiktok miliknya mendapat tontonan lebih 461,000 kali selain menerima sebanyak 2,293 reaksi netizen.
“Saya mahu ada telekung secantik ini untuk bertemu Allah, semangat dan auranya nikmat,” jelas Anisya Aminuddin.
“Bersederhana lebih bagus, jika kita terlebih mampu, lihatlah orang disekeliling mungkin ada perut yang lapar,” ujar Aryanti Ghazali. -KOSMO! ONLINE