JAKARTA – Gara-gara cemburu isteri bermain kayu tiga, seorang lelaki di Jayapura Selatan dalam wilayah Papua didakwa kerana membunuh teman lelaki wanita itu dengan menggunakan batu, lapor laman berita Suara.com semalam.
Menurut polis, suspek yang bernama Theodorus B @ Theo, 33, menyerah diri kepada pihak berkuasa selepas mayat mangsa, Luki Laratmase, 32, ditemui Ahad lalu.
Ketua Polis Jayapura Kota, Victor Dean Mackbon berkata, pembunuhan itu berlaku ketika suspek keluar mencari isterinya yang dikatakan melarikan diri dari rumah mereka.
Suspek dilaporkan pergi ke rumah mangsa untuk mencari isterinya, namun tidak menemui wanita itu.
Ketika kedua-dua mereka mencari wanita itu bersama-sama, suspek bertindak membunuh mangsa dengan menggunakan batu.
“Mangsa telah beberapa kali keluar bersama isteri suspek. Disebabkan berasa sakit hati, suspek bertindak membunuh mangsa,” kata Victor.
Buat masa ini, polis masih menyiasat sama ada suspek merancang untuk melakukan pembunuhan tersebut.
Dia kini ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Jayapura Kota dan jika disabitkan dengan kesalahan, suspek berdepan hukuman penjara maksimum 15 tahun. – Agensi