PETALING JAYA – RichWorks International Sdn. Bhd. (RichWorks) mengorak langkah ke hadapan untuk berkolaborasi bersama kerajaan Indonesia bagi membantu lebih daripada 30 juta wira usahawan di sana.
Pengasas RichWorks dan Mentor Usahawan, Datuk Wira Dr. Azizan Osman berkata, perbincangan berhubung kerjasama tersebut bersama Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Indonesia, Sandiaga Uno di Jakarta pagi tadi berjalan lancar.
“Alhamdulillah, pertemuan yang cukup bermakna meskipun waktu padat disebabkan esok program fizikal RichWorks bakal bermula dengan dihadiri sekitar 10,000 bangsa usahawan di Setia City Convention Centre (SCCC).
“Mudah-mudahan usaha kami ini berhasil untuk membantu mengurangkan kadar kemiskinan dan meningkatkan taraf ekonomi masyarakat keseluruhannya di Indonesia,” katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi.
Turut menghadiri perbincangan berkenaan ialah Pengarah Eksekutif RichWorks, Hasnita Ahmad; Ketua Pegawai Perniagaan, Radz Mohd; Timbalan Pengerusi Ekonomi Digital dan Produk-Produk Kreatif Indonesia, Muhammad Neil El Himam dan Penolong Timbalan Pengurusan Strategi Kementerian Pelancongan, Dr. Frans Teguh.
Program 10x Bina Bisnes Berjaya: Bangkit Bisnes Dari Krisis yang ditaja sepenuhnya oleh RichWorks mulakan pendaftaran esok dan berlangsung pada Sabtu dan Ahad ini.
Tambah Azizan, RichWorks sejak 2008 telah melatih dan membimbing sekitar 1.5 juta bangsa usahawan hingga melahirkan banyak testimoni kejayaan dan transformasi bisnes termasuk melahirkan usahawan jutawan.
“Anak didik kami bukan sahaja dalam negara, malah ada dari negara jiran seperti Indonesia, Singapura dan Brunei.
“Bahkan pada tahun lalu saja, dalam program mentoring kami menghasilkan jualan keseluruhan sebanyak RM3.7 bilion meskipun semasa pandemik,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE