Baru-baru ini dunia dikejutkan….Itulah idea yang bermain di minda penulis ketika ingin bercerita tentang tragedi amukan senjata api di Sekolah Rendah Robb, bandar Ulvade, Texas baru-baru ini.
Bagaimanapun, penulis menganggap perkataan ‘dikejutkan’ sudah tidak relevan, malah klise apabila membahaskan insiden senjata api di Amerika Syarikat (AS).
Sudah bertahun-tahun berkecimpung di meja berita, sudah terlalu banyak berita kematian disebabkan senjata api di AS. Walau apa pun temanya sama ada tragedi, pembunuhan beramai-ramai atau tembakan rambang, hampir semuanya melibatkan kehilangan nyawa mereka yang tidak berdosa.
Antaranya insiden tembakan di sekolah Sandy Hook, El Paso, Fresno, Thousand Oaks, insiden kelab malam Little Rock dan banyak lagi.
Setiap kali tragedi senjata api berlaku, ketika itulah juga pemimpin dan aktivis mendesak undang-undang kawalan dan pemilikan senjata api AS diperketatkan.
Bagaimanapun, beberapa minggu atau bulan kemudian, suara mereka sepi dan keadaan kembali seperti sedia kala, hanya menanti tragedi seterusnya.
Tahukah anda budaya pemilikan senjata senjata api sudah sebati dalam masyarakat Amerika dan wujud sejak sebelum penubuhan negara AS lagi?
Ketika peneroka-peneroka Barat mewujudkan koloni di AS, senjata api adalah barang paling penting yang perlu ada pada setiap lelaki.
Ketika AS belum mampu untuk menubuhkan pasukan tentera, setiap peneroka adalah militia yang memiliki senjata api sendiri.
Budaya itu diteruskan semasa penduduk AS melakukan penerokaan tanah yang menyaksikan konfrontasi dengan kaum pribumi ‘red indian’.
Hari ini, penduduk AS dikatakan memiliki lebih 400 juta senjata api. Menurut satu laporan, orang awam di AS memiliki senjata api hampir 100 kali ganda lebih banyak daripada tentera.
Malah, antara tahun 2012 hingga 2017, orang awam di AS dikatakan membeli 135 juta senjata api, iaitu jumlah yang lebih besar berbanding senjata api keseluruhan pasukan tentera di dunia ini.
Justeru, pelanggan dan pasaran terbesar syarikat pengeluar pistol dan senjata api ringan di AS tidak lain dan tidak bukan adalah rakyat negara itu sendiri.
Keuntungan dan pendapatan hasil jualan senjata api menjadi antara sumber lumayan sehinggakan kumpulan pelobi senjata api muncul antara pelobi paling berpengaruh di negara Polis Dunia tersebut.
Namun, bahananya juga besar kerana berdasarkan rekod, AS adalah satu-satunya negara aman (tanpa mengira perang 1861-1865) yang menyaksikan kira-kira 1.4 juta orang di negara itu meninggal dunia akibat senjata api dalam masa lebih empat dekad, manakala bilangan penduduk terbunuh akibat keganasan yang dipersalahkan kepada orang Islam pula cuma sekitar 3,300 orang.
Secara teori, AS juga negara yang paling sukar untuk ditakluki kerana rata-rata rakyatnya memiliki senjata api sendiri dan lebih banyak daripada senjata api mana-mana pasukan tentera di dunia ini.