GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan dadah ke negara jiran selepas menahan 11 suspek dalam siri serbuan di negeri ini mulai 24 Mei lalu sekali gus merampas senjata api, peluru hidup dan sebutir bom tangan.
Tangkapan suspek terdiri sembilan lelaki dan dua wanita yang masing-masing berusia antara 29 hingga 61 tahun itu dijalankan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri menerusi Ops Cantas Tanjung (lll).
Operasi khas yang dilaksanakan mulai pukul 12 tengah hari itu turut mendapat kerjasama anggota dari Bahagian Jenayah Terancang (D14), JSJ Bukit Aman.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zin berkata, siasatan mendapati kumpulan suspek terbabit dipercayai telah bergiat aktif di negeri ini sejak tahun lalu.
Menurutnya, susulan penahanan suspek terbabit telah membawa kepada penemuan dua pucuk pistol semi auto jenis Glock dan Beretta bersama 90 butir peluru hidup 9mm beserta bom tangan di dalam sebuah dusun buah-buahan di kawasan Teluk Bahang.
“Rampasan tersebut dilakukan dalam operasi dan risikan yang dilakukan anggota di Bahagian Siasatan Khas (D5), JSJN negeri kira-kira pukul 1 petang, 25 Mei lalu.
“Secara keseluruhannya, polis berjaya merampas sejumlah enam pucuk senjata api, 185 butir peluru, sebutir bom tangan serta anggaran 158 kilogram dadah jenis syabu dengan nilai pasaran RM5.6 juta,” katanya pada sidang akhbar di IPK negeri di sini sebentar tadi. – KOSMO! ONLINE