Oleh KAMARIAH KHALIDI
PUTRAJAYA – Kerajaan melalui Mesyuarat Jemaah Menteri semalam bersetuju harga maksimum runcit ayam standard, ayam super dan telur ayam menerusi penentuan harga maksimum ayam dan telur ayam dilanjutkan sehingga 30 Jun ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pelanjutan tempoh itu bertujuan memastikan Keluarga Malaysia bersedia dengan perubahan harga apabila penentuan harga tersebut berakhir pada hujung bulan ini.
“Sebagai kerajaan yang prihatin, Kementerian Kewangan akan meneliti cadangan pemberian bantuan untuk golongan sasar berpendapatan rendah termasuklah kadar dan mekanisme penyaluran bantuan bagi menangani kenaikan harga barang apabila penentuan harga maksimum ayam dan telur tamat pada 30 Jun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Alexander, penentuan harga yang dilaksanakan sejak 5 Februari lalu sepatutnya berakhir pada Ahad ini dengan harga maksimum runcit ayam dan telur bagi Semenanjung Malaysia ditetapkan pada kadar RM8.90 bagi sekilogram (kg) ayam bulat standard, ayam bulat super (RM9.90/kg), telur ayam gred A (43 sen/biji), telur ayam gred B (41 sen/biji) dan telur ayam gred C (39 sen/biji).
Bagi Langkawi, Sabah, Sarawak dan Labuan, harga maksimum ayam dan telur adalah berbeza mengikut zon dan daerah.
Dalam pada itu, beliau berkata, pegawai penguat kuasa KPDNHEP akan terus meningkatkan penguatkuasaan setiap hari di seluruh negara untuk menentukan bekalan sentiasa stabil dan tiada pencatutan berlaku di pasaran.
Alexander turut mengingatkan peniaga supaya agar sentiasa beretika dalam menjalankan perniagaan dan tidak mencatut untuk mengaut keuntungan yang tidak munasabah.-KOSMO! ONLINE