KUALA SELANGOR – Seorang pekerja warga asing nyaris dipatuk dua ular tedung ketika membersihkan ‘sarang’ reptilia itu di sebuah kebun kelapa sawit di Kampung Parit Serong, Tanjong Karang di sini hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu berlaku ketika lelaki Pakistan berusia 50 tahun mahu mengangkat timbunan kayu lama di kawasan tersebut.
Namun, mangsa terkejut apabila dua ekor ular tedung dewasa cuba mematuknya dan 28 anak spesis sama turut ditemui di situ.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Selangor, Kapten (PA) Khairul Sobri Abdul Rahim berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan daripada pemilik kebun pukul 10.20 pagi.
“Pemeriksaan mendapati dua ular tedung dan 28 anaknya berada di bawah timbunan kayu berkenaan.
“Anggota kita kemudian mengambil masa selama sejam untuk menangkap semua ular itu dengan menggunakan peralatan khas,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah beliau, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan pekerja warga asing itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Operasi berkenaan turut berjalan lancar tanpa insiden tidak diingini berlaku. Semua ular itu kemudian dilepaskan di kawasan yang jauh dari penempatan penduduk,” katanya. -KOSMO!ONLINE