fbpx

Menang lawan Amber Heard, Johnny Depp sifatkan ada kehidupan baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Depp membuat hantaran rasmi di Instagram miliknya selepas memenangi kes saman terhadap Heard.

PETALING JAYA- Pelakon Hollywood, Johnny Depp menyifatkan kemenangan kes saman terhadap bekas isteri, Amber Heard hari ini sebagai memberi lembaran baharu kepada kehidupannya selepas enam tahun berada dalam situasi sukar.

Depp membuat kenyataan itu menerusi satu hantaran di laman Instagram rasminya awal pagi tadi selepas berjaya memenangi kes saman terhadap Heard sekali gus membersihkan kontroversi melanda dirinya sejak enam tahun lalu.

“Selepas enam tahun, barisan hakim memberikan semula kehidupan saya, saya begitu bersyukur.

“Keputusan untuk menyambung kes ini dengan mengetahui proses undang-undang bakal dihadapi selain tidak dapat dielakkan hanya diputuskan selepas berfikir secara mendalam,” katanya tadi.

Kata bintang itu lagi, tujuan utama untuk menyambung kes tersebut sejak dari awal lagi ialah untuk mencari kebenaran tanpa mengira sebarang kesan bakal dihadapi.

“Bercakap tentang kebenaran ialah perkara yang selalu disuruh kepada anak-anak dan penyokong saya, saya tenang sekarang kerana berjaya menyelesaikannya.

“Saya terharu dengan rasa cinta ditunjukkan oleh semua penyokong seluruh dunia, semoga usaha mencari kebenaran ini akan membantu mereka yang turut berada dalam situasi ini,” ujarnya.

Pada masa sama, Depp turut mengucapkan ucapan terima kasih kepada kerja mulia dipamerkan semua pihak ketika perbicaraan berlangsung dalam usaha mencari kebenaran terhadap dirinya.

Hantaran dibuat Depp awal pagi tadi itu turut menjadi tular di seluruh dunia dengan mendapat lebih 11.5 juta tanda suka selain 739,025 komen daripada pangguna Instagram.

“Sangat gembira dan tahniah buat Depp,” ujar Ashalexis.

“Kebenaran akhirnya terbukti,” kata GiftSome.

Terdahulu, Depp, 58, memenangi kes saman fitnah terhadap bekas isteri, Heard, 36, hari ini selepas perbicaraan berlangsung selama enam minggu sebelum ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI