KAPIT- Selepas tiga hari dikhuatiri lemas akibat hanyut dibawa arus deras Nanga Sungai Semawang, Kapit di sini semasa sedang mandi bersama keluarga di tebing sungai Khamis lalu, mayat dua orang kanak-kanak akhirnya ditemui oleh orang awam.
Mangsa, Damien Dashlley Sedan Anak Donny, 9, ditemui tidak jauh dari Sekolah Kebangsaan Nanga pada pukul 7.15 malam.
Mangsa kedua, Chelsea Charity Darrie, 10, ditemui di sungai kawasan Balai Bomba Penyelamat Song pada pukul 7.55 malam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak, berkata, selepas mangsa disyaki lemas, pihak bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat kanak-kanak itu yang turut disertai 12 anggota penyelamat termasuk pihak polis dan orang awam.
“Sebanyak satu Kembara dan satu Bot bersama empat anggota untuk operasi mencari dan menyelamat yang diketuai oleh Penguasa Kanan Bomba II, Abu Osman.
“Balai Bomba Penyelamat Song telah mengerahkan sebuah jentera FRT termasuk 8 anggota bomba,” jelasnya.
Laporan awal diterima pada pukul 5.42 petang Selasa lalu. – KOSMO! ONLINE