fbpx

‘Markas’ sindiket seleweng minyak masak digempur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Minyak masak subsidi yang dirampas KPDNHEP Selangor

KLANG – Taktik sindiket menyeleweng minyak masak subsidi peket 1 kilogram untuk dipindahkan ke minyak botol tumpas selepas markas mereka digempur pihak berkuasa di Taman Sentosa di sini, semalam.

Dalam serbuan kira-kira pukul 3.30 petang dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor itu berjaya merampas minyak dianggarkan bernilai RM27,628.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, kejayaan itu hasil risikan pihaknya terhadap aktiviti sindiket yang dijalankan di premis tidak bernombor tersebut.

Katanya, premis itu dipercayai menjadi stor penyimpanan selain lokasi pembungkusan dan pembotolan semula minyak secara tidak sah.

“Hasil pemeriksaan membawa kepada sitaan minyak masak peket seberat 7,361 kg dan 776 botol seberat sejumlah 1,562 liter.

“Selain itu, peralatan dan plastik pembungkusan minyak yang digunakan turut dirampas untuk tindakan lanjut. Anggaran nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM27,628,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Azman, ketika serbuan empat lelaki berusia 25 hingga 41 tahun turut berada di dalam premis berkenaan.

“Mereka yang ditahan untuk rakaman percakapan bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya.

Tegas beliau, siasatan dijalankan  pihaknya mengikut Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.

“Ia antaranya merangkumi Seksyen 21 dan Seksyen 20 (1) iaitu memiliki barang kawalan dengan menimbulkan syak dan memindahkannya di mana-mana premis tidak berlesen atau tanpa kelulusan.

“Jika sabit kesalahan, ia memperuntukkan denda tidak lebih RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI