PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri bersedia memperluaskan kerjasama dengan Turki dalam bidang kawalan sempadan daripada pencerobohan pendatang asing tanpa izin (PATI).
Perkara itu antara topik dibincangkan menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin ketika sesi kunjungan hormat ke atas Presiden Recep Tayyip Erdogan di Ankara, Turki pada 31 Mei lalu.
“Perbincangan secara mendalam juga meliputi inisiatif untuk pengembangan kerjasama yang strategik sedia ada dan berkongsi pengalaman,” kata kenyataan pejabat beliau di sini hari ini.
Sesi pertemuan rasmi tersebut berlangsung di Istana Presiden dan turut dihadiri oleh Menteri Dalam Negeri Turki, Suleyman Soylu yang terkenal dengan reputasi ketegasan di republik itu.
Negara Islam berkenaan menjadi tumpuan PATI kerana berkongsi sempadan darat sepanjang 2,648 kilometer dengan Armenia, Azerbaijan, Bulgaria, Georgia, Greece, Iran, Iraq dan Syria.
Ramai kalangan imigran termasuk warga Afghanistan dan negara-negara dari benua Afrika menjadikan Turki sebagai transit berhijrah ke Eropah bagi mencari kehidupan yang lebih selesa.
Mengulas lanjut, kenyataan pejabat itu menambah, aspek pemerkasaan kawalan sempadan negara diberikan fokus kerana Turki terkenal memiliki kepakaran tinggi dalam bidang tersebut.
“Justeru, beberapa lawatan khas bagi melihat pengurusan, teknologi, aset strategik dan lokasi operasi tumpuan menangani pencerobohan telah diatur khusus oleh kerajaan Turki,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE