PETALING JAYA – Kanser payudara dianggap sebagai kanser biasa dan kebanyakan wanita menganggap ia penyakit tidak berbahaya sehingga mereka sering mengabaikannya.
Bagaimanapun, seorang pengamal perubatan, Dr. Nur Khaisiyah Othman mendedahkan penyakit tersebut ketika ini telah menyumbang kira-kira 34.1 peratus daripada keseluruhan penyakit kanser yang dialami wanita di negara ini.
Lebih membimbangkan katanya, kebanyakan kes tersebut hanya boleh dikesan pada tahap ketiga dan ke atas.
Jelas Nur Khaisiyah, pada peringkat tersebut rawatan lebih mencabar serta rumit dan memerlukan kos yang lebih besar.
“Walaupun masih belum ada penawar, kanser pada tahap empat masih boleh dirawat menerusi terapi yang disasarkan menerusi ubat yang ditujukan kepada protein pada sel kanser payudara.
“Terapi yang dikhususkan seperti perencat CDK4/6 telah terbukti dapat membantu pesakit mencapai kualiti hidup yang lebih baik,”katanya kepada Kosmo!.
Nur Khaisiyah yang juga lulusan Universiti Perubatan Sechenov Pertama Moscow menambah, terapi tersebut perlu dijadikan sebagai salah satu alternatif yang mampu dibayar oleh majoriti pesakit kanser payudara di negara ini.
“Kanser payudara kekal sebagai salah satu penyakit tidak berjangkit (NCD) yang paling biasa dirawat di bawah program pemeriksaan kesihatan Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40).
“Sudah tiba masanya untuk kerajaan meneroka cara bagi menjadikan terapi sasaran mampu dibayar supaya mereka yang didiagnosis dengan mudah terutamanya pesakit B40 agar mereka mendapat akses yang lebih baik kepada rawatan berkualiti,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE