fbpx

Jangan bergantung kepada Indonesia sahaja untuk pekhidmat domestik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kerajaan terutamanya Kementerian Sumber Manusia (KSM) perlu mencari alternatif lain bagi mencari pekhidmat domestik selain dari Indonesia yang tidak tiba ke negara ini sebagaimana dijadualkan pada 31 Mei lalu.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA), Dr. N. Sukumaran berkata, antara negara yang boleh dipertimbangkan bagi tujuan tersebut adalah Bangladesh dan Nepal.

Jelasnya, ejen-ejen rekrut tenaga kerja di kedua-dua negara tersebut telah bersetuju untuk menghantar ramai pekhidmat domestik terlatih ke negara ini sekiranya tuntutan mereka dipenuhi.

“Menerusi lawatan ke Dhaka, Bangladesh baru-baru ini, PAPSMA bertemu dengan syarikat berkaitan kerajaan, Bangladesh Overseas Employment & Services Limited serta Kementerian Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara, dengan mereka memaklumkan mengenai kesediaan menghantar pekhidmat domestik ke Malaysia.

“Pekhidmat domestik Bangladesh ketika ini dihantar ke Arab Saudi, Jordan, Hong Kong, Jepun, Korea Selatan dan lain-lain negara,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Bagaimanapun, Sukumaran berkata, laporan terperinci mengenainya akan mereka berikan kepada Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) untuk semakan, nasihat dan penjelasan oleh kerajaan.

Katanya, langkah itu diambil memandangkan tiada perjanjian rasmi dimeterai ketika ini antara kedua-dua negara bagi pengambilan pekhidmat domestik dari Bangladesh.

Mengenai kegagalan pekhidmat domestik Indonesia tiba ke negara ini, katanya, PAPSMA tidak tahu punca sebenar perkara itu berlaku memandangkan kedua-dua negara bekerja keras bagi menjayakannya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI