PEMINAT penyanyi IU pasti tahu artis popular itu baru sahaja pulang dari Festival Filem Cannes ke-75 di Perancis baru-baru ini.
Tidak pernah lupa mengucapkan terima kasih atas sokongan yang diberikan, IU dilihat memberi makanan ringan yang diborongnya dari Perancis khas buat peminatnya di
Lapangan Terbang Incheon, Seoul sejurus mendarat Isnin lalu.
Bukan pertama kali berkongsi rezeki bersama peminat, IU dilihat langsung tidak kekok melayan penggemar fanatiknya yang sanggup menunggu di lapangan terbang bagi menyambut kepulangannya.
Disebabkan kemurahan hati penyanyi itu, peminatnya sepakat memberikannya gelaran ‘kka-kka fairy’ atau ‘snack fairy’ yang membawa maksud seorang yang pemurah.
Peminat yang hadir turut tidak melepaskan peluang bergambar bersamanya berserta makanan ringan yang diberi dengan memuat naik dalam media sosial.
“Bukan sekali dua IU buat begini. Bertahun-tahun lamanya kalau anda nak tahu. IU tak pernah lupakan peminat,” tulis peminat.