Oleh KAMARIAH KHALIDI
PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan harga vaksin Covid-19 yang berada di pasaran swasta adalah tertakluk kepada harga siling dibawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723).
Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, pengamal perubatan swasta perlu mematuhi harga siling tersebut sepertimana ditetapkan bagi dua produk vaksin yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan boleh dipasarkan di pasaran swasta.
Menurut beliau, harga maksimum perdos untuk CoronaVac Suspension for Injection SAR- CoV2 Vaccine (Vero Cell), Inactivated dan COVILO Suspension for Injection COVID-19 Vaccine (Vero Cell), Inactivated masing-masing adalah RM62 bagi harga borong manakala RM77 untuk harga runcit.
“KKM ingin menjelaskan juga bahawa harga runcit maksimum yang ditetapkan adalah tidak termasuk kos pengendalian perkhidmatan vaksinasi. Kos vaksinasi di pasaran swasta turut merangkumi caj-caj yang ditetapkan sendiri oleh pengamal perubatan dan hospital swasta terlibat.
“Ia meliputi fi konsultasi dalam jadual ketujuh dibawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586], caj perkhidmatan dan caj barangan pakai buang (Consumables) yang digunakan ketika mengendalikan suntikan vaksin Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru katanya, kos akhir yang perlu dibayar oleh pengguna adalah merangkumi kos vaksin Covid-19 iaitu harga runcit maksimum yang ditetapkan, fi konsultasi dan kos pengendalian perkhidmatan vaksinasi iaitu caj perkhidmatan dan caj barangan pakai buang. – KOSMO! ONLINE